
YTL Jamin Telefon Yang Diberi Untuk PDPR Selamat, Perlu Guna Pengecas Asal
YTL Jamin Telefon Yang Diberi Untuk PDPR Selamat.
YTL Communications telah mengeluarkan kenyataan bahawa telefon pintar keluaran YES yang diedarkan kepada pelajar yang memerlukan untuk sesi PDPR adalah mematuhi piawaian antarabangsa dan selamat digunakan.
Kenyataan dikeluarkan selepas terdapat dua dakwaan kejadian telefon bersubsidi di bawah Jaringan Prihatin iaitu model YES Altitude 3 terbakar.
Mereka menyatakan, sejak kejadian itu dilaporkan, China Mobile iaitu rakan kongsi YTLC dan juga pengeluar bateri bagi peranti itu iaitu Utime Limited telah menjalankan audit ke atas data pengeluaran dan kawalan kualiti dari proses pengeluaran telefon pintar YES Altitude.
Daripada audit tersebut mereka mengesahkan pengeluaran YES Altitude sepenuhnya mematuhi semua perakuan kesihatan dan keselamatan antarabangsa yang relevan dan selamat digunakan.
Susulan itu, YTL mengatakan pengguna telefon terbabit perlu menggunakan pengecas asal yang dibekalkan dengan telefon atau kabel pengecasan yang diperakui oleh SIRIM yang dalam keadaan baik.

Pihaknya mengadakan siasatan awal mendapati kedua-dua insiden itu menunjukkan bahawa skrin kedua-dua telefon pintar tidak rosak sekali gus ia sebenarnya tidak meletup seperti yang didakwa pengguna.
Berkenaan dengan insiden yang melibatkan telefon pintar YES Altitude terbakar, YTL mengatakan telefon itu masih boleh berfungsi sepenuhnya dengan perlu menggantikan bateri baharu kerana kerosakan terbabit terhad pada bateri.
BACA: Kes Telefon Bersubsidi Terbakar, Xiaomi Gantikan Dengan Redmi Note 10 5G
Manakala insiden kedua pula disebabkan telefon dicas menggunakan pengecas dan kabel pihak ketiga.
Telefon YES Altitude dibangunkan bersama oleh YES dan China Mobile, pengendali rangkaian terbesar di dunia untuk kegunaan pendidikan.
YTL menutup kenyataan mereka dengan mengatakan bahawa peranti-peranti yang diberikan kepada para pelajar adalah selamat digunakan dan pengguna perlu menggunakan pengecas asal atau yang disahkan SIRIm bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang.
Sumber: MalaysiaKini
Trending now



