Youtuber Kecewa Facebook Sekat Video Puji Malaysia

Youtuber Ini Kecewa Facebook Sekat Video Puji Kecekapan Malaysia Tangani COVID-19

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Dustin Pfundheller, seorang youtuber dari luar negara telah menerbitkan satu rakaman video di halaman Facebook beliau di ruangan ‘Other Side of the Truth’ pada 18 Mei lalu, yang memuji tindakan pantas dan efektif Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19, bagaimanapun, Facebook merasakan sebaliknya.

Video bertajuk ‘How Malaysia Did the Impossible’ itu menyenaraikan bagaimana kerajaan dan rakyat Malaysia bekerjasama memerangi COVID-19 dan menjaga kebajikan orang ramai.

Ia menarik tontonan lebih 3.2 juta, namun FB kini menyekat capaian video itu dan iklan di halaman berkenaan tanpa menyatakan sebabnya.

Pfundheller yang jelas kecewa dengan tindakan itu menampilkan video berdurasi empat minit pada 6 Julai lalu mempersoalkan tindakan Facebook itu dan menjelaskan mengapa tindakan itu tidak seharusnya berlaku.

Katanya menerusi klip video berkenaan, beliau menggunakan fakta tepat dan mendapatkan banyak sumber dalam bidang yang diperoleh maklumat malah mempunyai 30 Youtuber yang membuat pemeriksaan fakta mengenainya dan mengkaji semula video tersebut.

“… dan satu perkara yang saya dapati daripada kajian semula mereka adalah, ada banyak lagi seharusnya saya masukkan dalam video itu yang telah Malaysia lakukan – contohnya memberikan perkhidmatan Internet percuma.

“Ini amat mengecewakan kerana negara seperti Malaysia sering tidak diendahkan. Apabila anda lihat negara melakukan sesuatu yang hebat dalam melawan COVID-19, semuanya mengenai negara barat, atau mungkin Taiwan, tapi negara seperti Malaysia seolah-olah tidak wujud dalam peta dunia,” katanya.

Pfundheller yang juga pakar bedah pergigian sering memberikan perkhidmatan sukarelawan perkhidmatan di serata dunia berkata, beliau bekerja keras untuk memberikan penghargaan sepatutnya kepada Malaysia.

Youtuber Kecewa Facebook Sekat Video Puji Malaysia

Tambahnya, platform media sosial mungkin mempunyai perasaan berat sebelah terhadap beberapa kandungan tertentu.

“Saya rasa bagi pertubuhan besar seperti Facebook, adalah penting bagi mereka untuk melayan semua orang, semua pencipta, negara, …semuanya perlu mendapat layanan saksama,” katanya.

Mengapa Facebook begitu mudah bertindak ke atas video Pfundheller sedangkan ia memaparkan fakta sebenar?

Dalam pada itu, beliau berkata akan membuat satu lagi video bagi membetulkan laporan Al Jazeera.

“Terdapat beberapa laporan yang sangat buruk dan tidak tepat mengenai Malaysia semasa Covid-19 oleh Al Jazeera.

“Saya sedang menyiapkan video ulasan/reaksi. Oleh kerana terdapat banyak ketidaktepatan dalam video Al Jazeera, memerlukan masa sekurang-kurangnya 3 hari untuk menghasilkan video ini,” katanya.

Sumber: Bernama