
Youtube Music Kini Di Malaysia, Ini Kelebihannya Berbanding Yang Lain
Platform Youtube telah melancarkan dua perkhidmatan penstriman di Malaysia iaitu Youtube Music dan Youtube Premium. Jika sebelum ini pengguna perlu menonton Youtube dengan paparan iklan, dengan aplikasi Youtube Music tidak perlu lagi.
YouTube Music merupakan aplikasi khusus untuk pendengar melengkapi halwa telinga mereka dengan lagu, album, ribuan senarai lagu (playlist) serta radio artis rasmi.
Menariknya lagi, pengguna turut ditawarkan senarai lagu remix berupa katalog, persembahan secara langsung, nyanyian semula dan muzik video yang tidak mungkin ditemui di mana-mana platform penstriman muzik lain. Fungsinya lebih kurang sama seperti penstriman muzik lain seperti Spotify.

Selain itu, YouTube Music boleh ditetapkan mengikut kemahuan peribadi pengguna misalnya muzik ketika kita berada di rumah, di pejabat atau di gimnasium. Juga turut disediakan paparan New Release untuk muzik video atau lagu yang baru dilancarkan.
Antara kelebihan Youtube Music ialah:
- Bukan sahaja muzik video, malah lagu rasmi, album, rekod single, lagu-lagu remix, persembahan langsung, nyanyian semula dan muzik yang sukar dijumpai hanya ada di YouTube Music.
- Skrin utama beradaptasi secara dinamik yang menyediakan tetapan muzik seiring dengan aktiviti pendengar.
- Ribuan playlist merentasi pelbagai genre, suasana, aktiviti atau bahasa.
- Video-video terhangat masa kini.
- Carian pintar sesebuah lagu tanpa mengingati tajuk, hanya kata petunjuk.
- Peralihan video atau audio. Beralih antara video dan audio dengan mudah.
Jika mahu melayari Youtube tanpa iklan dan memuat turun muzik tanpa had untuk disimpan dalam peranti agar boleh ditonton kemudian tanpa sambungan internet, anda boleh melanggan Youtube Music Premium dengan harga RM14.90 sebulan. Pengguna Premium juga boleh terus mendengar muzik dari video Youtube sambil membuka aplikasi lain.
Pakej keluarga turut ditawarkan pada harga RM22.90 sebulan – boleh menambah sehingga lima pengguna untuk satu akaun. Bagi golongan pelajar, Youtube turut menawarkan pakej pelajar yang akan diumumkan pada 15 November nanti.
Kepada yang mahu melanggan, untuk pengguna Android boleh layari di sini dan iOS di sini.
Trending now



