
Wujud Ajaran Ayah Pin Versi Baharu, Didakwa Bertapak Di Lembah Klang
Salah satu cabaran dalam pengembangan agama Islam sejak dahulu ialah wujudnya pengaruh yang cuba memesongkan akidah penganut agama Islam. Sejak zaman Nabi Muhammad SAW hinggalah zaman kini, umat Islam secara amnya tidak pernah sunyi daripada berhadapan dengan isu penyelewengan akidah dan penyebaran ajaran sesat.
Baru-baru ini, tular mengenai ajaran sesat yang dikatakan menyerupai Ayan Pin didakwa mula bertapak di Lembah Klang.
Menerusi Facebook We Are All Firdaus Wong yang mendedahkan perkara itu, sebuah kuil beralamat di Puchong dikatakan menjadi lokasi penganut ajaran agama itu berkumpul.
Memetik perkongsian tersebut, kuil berkenaan didakwa menghimpunkan ajaran pelbagai agama termasuk Islam.
“Malah simbol-simbol agama di sana juga ada kaitan dengan fahaman pluralisme. Fahaman ini bercanggah dengan ajaran Islam. Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi darinya,” menurut perkongsian tersebut.
Perkongsian itu juga turut memuat naik beberapa keping gambar yang didakwa berkait dengan ajaran sesat tersebut. Paling memeranjatkan, terdapat sekumpulan lelaki bersongkon dipercayai beragama Islam berkumpul dalam satu acara dalam kuil yang turut dihadiri penganut Buddha.
Dalam perkongsian sama, turut dipaparkan simbol agama Islam, Kristian dan lain-lain terdapat pada pintu masuk kuil berkenaan.
Memetik sumber Sinar Harian, hasil penyelidikan daripada unit kajian dan pembangunan Multiracial Reverted Muslims (MRM) mendapati kini terdapat tidak kurang daripada 40 ajaran agama baharu dan kultus dari luar negara yang telah bertapak di Malaysia.
Presidennya, Ustaz Firdaus Wong Wai Hung yang merupakan seorang pendakwah bebas berkata, berdasarkan kajian tersebut kumpulan-kumpulan ajaran agama itu telah menubuhkan persatuan dan bergerak melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kebajikan di samping menyebarkan fahaman mereka.
Beliau berkata, mereka juga memiliki banyak kerjasama yang erat di antara pertubuhan-pertubuhan bukan Islam yang lain dan saling menyokong di antara satu sama lain.
Menurutnya, pemerhatian dilakukan pihaknya ke atas salah satu pertubuhan bermula sejak tahun 2018 setelah mendapati banyak program rentas agama dianjurkan seperti majlis berbuka puasa bersama penganut agama lain dan juga program interfaith dialogue.

“Pemerhatian yang kami buat menunjukkan fahaman Pluralisme inilah yang sedang disebarkan oleh pertubuhan tersebut kepada masyarakat di Malaysia,” katanya.
Kuil yang menempatkan ajaran tersebut memiliki elemen beberapa agama seperti perkataan ‘Amin (Islam), Aum (Hindu), Amen (Kristian)’ dan turut memiliki simbol om shanti fahaman agama baru Brahma Kumaris serta patung-patung agama Hindu.
https://www.facebook.com/brofirdauswong/videos/297209675062003/
Siasat
Menurut Sinar, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd Ajib Ismail memaklumkan pihaknya akan menyiasat berhubung dakwaan tersebut.
“Sehingga kini saya tidak menerima apa-apa laporan berhubung ajaran sesat ini, namun saya akan membuat semakan dengan Jabatan Penguatkuasaan Jawi.”
Penyebaran ajaran sesat mungkin dapat dikekang jika setiap individu Muslim berwaspada dan meningkatkan pengetahuan agama denga cara betul serta mengelak
diri daripada dipengaruhi oleh kumpulan tertentu yang kebanyakannya
mempunyai agenda peribadi.
One comment
Comments are closed.
[…] satu laporan yang diperolehi dari portal berita Sinar Harian, baru-baru ini muncul satu lagi bentuk ajaran sesat di Malaysia yang berpandukan […]