
“What The Fish!!!!” – Peguam Syarie Marah Dan Tegur Drama ‘Suamiku Lelaki Pendosa’
Drama TV penuh kontroversi Suamiku Lelaki Pendosa mendapat teguran dari seorang Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli.
Beliau yang merupakan seorang peguam syarie yang aktif dalam perkongsian berkaitan hal ehwal kekeluargaan Islam dan pengurusan harta orang Islam sebelum ini telah pun mengulas isu yang hampir sama.
Dalam hantarannya sebelum ini di Facebook yang bertajuk, “Tak Boleh Cakap Anak Tak Sah Taraf Kalau Isteri Zina Dengan Lelaki Lain”, beliau telah membuat teguran mengenai cara pembuktian DNA yang digunakan untuk menafikan nasab keturunan.
Nasab sebenarnya dapat dinafikan dengan melakukan sumpah Li’an dan sekiranya ia tidak dilakukan, anak tersebut tetap sah dinasabkan kepada suami yang sah, walaupun bukan dari benih lelaki tersebut.
Walau bagaimanapun, beliau masih memuji drama tersebut yang disifatkannya sebagai bagus, serba complicated dan luar biasa, namun menasihatkan pihak penerbitan mendapatkan khidmat nasihat golongan yang arif terlebih dahulu jika ia melibatkan hukum dan undang-undang.
Kali ini, beliau sekali lagi terpanggil untuk membuat teguran melalui hantaran terbarunya yang menyeru pihak yang terlibat dengan drama tersebut agar menyemak betul-betul isu nasab dalam Islam sebelum menyiarkannya kepada orang ramai.
Apa sebenarnya yang menyebabkan beliau kali ini terpaksa menahan marah sehingga tangannya bergetar sejurus selesai menonton Episod 19 drama Suamiku Lelaki Pendosa?
Jom sama-sama ikuti perkongsian yang sangat menarik ini.
TV3 dan penulis novel, tolong semak betul-betul isu nasab dalam Islam sebelum pamerkan pada orang awam.
Hari ini saya terpanggil sekali lagi untuk ulas isu yang hampir sama dengan artikel yang saya ulas daripada drama Suamiku Lelaki Pendosa. Tangan saya bergetar kerana terlalu marah bila baru sahaja menonton Episod 19 di Disney Hotstar.
Buat yang tak tonton, saya beritahu apa sebabnya saya marah.
Dalam episod tersebut, Dato Afnan (Edika Yusof) telah datang ke rumah Firdaus Bapa Cahaya Malaika (Fauzi Nawawi) untuk melihat dan berjumpa dengan Cahaya Malaika (Sophia Barakbah) lantas memberitahu yang dia adalah ‘Bapa Kandung’.
Yang tak boleh saya terima, Firdaus ni pun siap cakap ‘Ini adalah bapa kandung Cahaya’. What the fish!!!!
✅ Apa hubungan sepatutnya Cahaya dengan Dato’ Afnan?
Walaupun diketahui Dato’ Afnan itu telah meniduri isteri Firdaus, Wahidah (Aleza Shadan), TAPI dalam Islam, dia tak boleh dikatakan sebagai Bapa Kandung. Istilah bapa kandung digunakan untuk Anak Sah Taraf yang dinasabkan kepada seorang bapa yang sah dalam tempoh perkahwinan mengikut Hukum Syarak.
Seandainya, katakanlah Wahidah diceraikan, dan kemudian berkahwin dengan Dato’ Afnan, ia tak akan menjadikan Cahaya Malaika itu sebagai Bapa Kandungnya. Hubungan Cahaya dan Dato’ Afnan tu hanya seperti Bapa Tiri yang haram berkahwin dengan anak tiri disebabkan perkahwinan dengan ibunya.
✅ Betul ke Cahaya Anak Tak Sah Taraf?
Seperti yang saya pernah ulas, Cahaya tetap dikira Anak Sah Taraf kepada Firdaus dan Wahidah sebab dia dilahirkan dalam tempoh perkahwinan mereka.
Meskipun, DNA dan pengakuan Wahidah yang terlanjur dengan Dato’ Afnan ketika dia bergelar isteri orang membuktikan Cahaya datang dari benih Dato’ Afnan (mungkin), TAPI disebabkan Firdaus tidak membuat Permohonan Cerai Lian, maka, Cahaya tetap dikira Anak Sah Taraf kepada Firdaus.
✅ Bukan ke DNA terbukti kuat?
DNA adalah satu kaedah saintifik. Islam tidak menolak pembuktian tersebut. Tetapi, dalam Undang-undang dan Syarak, hanya ada satu cara untuk seorang lelaki menafikan nasab anaknya iaitu dengan Cerai Lian setelah dia menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain.
Saya dah ulas perkara ini berdasarkan satu rujukan kes Jurnal Hukum yang diputuskan di Mahkamah Rayuan Syariah (boleh rujuk artikel sebelum ini), Mahkamah memutuskan, DNA hanya digunakan untuk membuktikan nasab seseorang anak sahaja, bukan CARA untuk menafikan nasab.
✅ Walaupun Firdaus mungkin tahu perbuatan isterinya dibelakang?
Ya, walaupun Firdaus tahu Wahidah telah terlanjur dengan lelaki lain. Untuk menjawab kepada persoalan ini, saya merujuk kepada satu Hadis Nabi s.a.w yang mafhumnya,
“Anak itu dinisbahkan kepada katil, sedangkan untuk orang yang berzina terlarang daripada apa-apa”
(Bukhari & Muslim)
Maksudnya, katil itu dinisbahkan kepada isteri. Pemilik kepada katil tersebut adalah suami yang sah. Anak itu dinisbahkan kepada suaminya. Meskipun, isteri tersebut menafikan itu anaknya, tetapi suami itu menyatakan itu anaknya, maka anak itu tetap boleh dinasabkan kepada suaminya.
✅ Kalau Firdaus menafikan itu nasabnya?
Jika Firdaus atau suami tersebut, menafikan bahawa itu anaknya, dan menuduh isterinya berzina dengan lelaki lain, isteri pulak menafikan, maka ia akan menjurus kepada Cerai/Sumpah Lian jika suami tidak mampu membawa bukti syarak tuduhan zina iaitu 4 orang saksi lelaki. Selepas itu, barulah anak itu dinafikan nasab daripada suami tersebut.
Manakala, orang yang berzina, iaitu tidak ada pertalian nikah yang sah, dan melahirkan anak, maka anak itu tak boleh dinasabkan kepada lelaki tersebut, sebaliknya nasab kepada ibunya sahaja.
Jadi, ini bermaksud, anak itu masih wajar dinasabkan kepada suami yang sah, meskipun isteri tersebut mengakui yang itu bukan benih suaminya. Syaratnya, suami tersebut menafikan dakwaan isterinya dan mengakui itu adalah anaknya.
✅ Bukan ke masa belajar dulu anak tak sah taraf tak boleh dinasabkan kepada lelaki yang berzina?
Memang betul. Tapi di dalam kes ini, Wahidah itu berzina dengan lelaki lain dalam tempoh perkahwinannya dengan Firdaus.
Lainlah kalau Wahidah, berzina dengan Dato’ Afnan SEBELUM kahwin dengan Firdaus. Memang haram la hukumnya dinasabkan kepada Firdaus tu. Itu kita panggil istilahnya Pak Sanggup. Hukumnya Haram dalam Islam. Bezakan antara situasi zina sebelum nikah dengan zina selepas nikah.
❤️ Kesimpulan
Saya mohon secara tegas, isu sebegini jangan diambil mudah. Bayangkan berapa ramai yang menonton Drama ini akan mendapat info yang salah disebabkan kesalahan skrip atau penulisan drama yang tak dikaji.
Saya tersangat bimbang, jika selepas ini akan ada lebih ramai orang macam Dato’ Afnan yang sepatutnya tak ada pertalian nasab, tetapi hanya Bapa Biologikal sahaja datang ke rumah dan mengaku dia adalah Bapa Kandung. Allahu. Salah besar ni.
Saya pun tak faham, bagaimana drama ini katanya telah disemak oleh JAKIM boleh terlepas pandang isu sebegini. Kalau saya salah buktikan secara sah ikut undang-undang dan syarak. Sebab saya menyampaikan pandangan ini berdasarkan kepada keputusan kes yang pernah diputuskan Mahkamah Syariah serta bersandarkan kepada Undang-undang dan Syarak.
Bukan ikut sedap tangan saya yang menulis. Saya mohon, buat pembaca artikel ini, panjangkan hingga sampai ke pihak penyiaran untuk ambil tindakan selanjutnya. Bimbang ini akan memesongkan pemahaman masyarakat yang tak semua faham. Saya gesa tindakan tegas diambil.
Wallahualam.
Fahmi Ramli
Peguam Syarie & Konsultan Perundangan Islam
TV3 Malaysia
BACA: Unsur ‘New Age’ Dalam Lagu Pelukan Angkasa, Ustaz Beri Pandangan Dan Penjelasan Padu
Sumber & kredit foto: Facebook Fahmi Ramli