Abu Lahab Hodoh Dan Bengis

Watak Abu Lahab Sering Dipotret Hodoh Dan Bengis, Penerangan Lelaki Ini Buat Ramai Setuju

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mungkin sejak kecil kita sering dipaparkan watak jahat seseorang itu pasti bermuka hodoh dan bengis, sedikit sebanyak telah memberi persepsi yang silap dalam menilai seseorang.

Benarkah persepsi-persepsi ini? Betulkah wajah seseorang itu melambangkan siapa dia? Bolehkah kita meramal peribadi seseorang itu berdasarkan apa yang kita lihat sahaja?

Misalnya, kisah Abu Lahab yang diceritakan dalam bentuk animasi atau lakonan, pasti berwajah hodoh dan bengis.

Persepsi sebegini diutarakan oleh seorang pengguna Facebook bernama Mohd Shah Rizal Samsudin yang menyatakan bahawa rupa bukanlah ukuran kita menilai seseorang itu berperwatakan baik atau buruk. Mari ikuti penerangan beliau.

Sering saya melihat apabila watak Abu Lahab dilakonkan, baik di dalam bentuk fizikal atau animasi, wajahnya pasti hodoh atau bengis. Kalau orang islam pula, mesti pakai baju-baju putih. Mungkin ada unsur psikologi di situ untuk mudah penonton bezakan antara watak jahat dan baik.

 

Gambaran wajah Abu Lahab

Namun ianya sangat kontradik dengan apa yang ditulis di dalam sirah. Abu Lahab iaitu bapa saudara Nabi SAW. Lahab itu adalah laqab, bukannya nama sebenar. Nama sebenar beliau adalah Abdul Uzza bin Abdul Mutallib. Lahab adalah bermaksud bercahaya kemerah-merahan persis hujung nyalaan api. Maksudnya, Abu Lahab ini kulitnya adalah putih kemerah-merahan yang dinilai cantik oleh orang arab ketika itu.

Ironinya, Abu Lahab ini bukanlah hodoh dan menjengkelkan. Beliau ini hensem, petah berkata-kata, ahli politik, pemberi makan kepada tetamu haji, keturunan elit dan kaya-raya. Boleh dikatakan watak yang menjadi bualan atau selebriti di kalangan umum.

Abu Lahab pula berkahwin dengan Ummu Jamil. Ummu jamil adalah laqab bermaksud ‘ibu kepada kecantikan’. Nama sebenar Ummu Jamil adalah Arwa binti Harb bin Umayyah. Ummu Jamil adalah saudara kandung kepada Abu Sufyan bin Harb. Ummu Jamil adalah seorang yang cantik, anak kepada pembesar keturunan Bani Umayyah.

Kedua-duanya adalah influencer (disebabkan hensem, cantik, keturunan elit dan kaya), dan kedua-duanya adalah pasangan suami isteri. Boleh bayangkan status mereka di zaman itu? Memang semasa mereka berkahwin boleh dikatakan wedding of the year lah!

Maka adalah silap menggambarkan Abu Lahab dengan wajahnya yang hodoh, bengis atau menjengkelkan Tetapi status mereka ini adalah tinggi dalam sistem sosial masyarakat ketika itu. Namun di hadapan Allah SWT kedua-duanya adalah pasangan paling malang.

Sejahat-jahat Abu Jahal dan seangkuh-angkuh Al-Walid bin Mughirah pun, nama mereka tidak dikeji direct oleh Allah SWT di dalam Al-Quran, namun tidak bagi Abu Lahab. Tersebut jelas namanya dan juga isterinya di dalam surah Al-Masad. Allah SWT ‘mengejek’ guna ayat yang sama dalam ucapan ejekannya kepada Nabi SAW – تباً لّك (musnahlah kamu!), juga Abu Lahab yang akan dibakar oleh neraka yang juga punya ‘Lahab’.

Abu Lahab Hodoh Dan Bengis

‘Masyarakat mudah tertipu dengan watak’

Gambaran seperti ini seharusnya dinyatakan jelas jika kita mahu mengungkapkan siapakah musuh Allah SWT di zaman Rasulullah SAW. Memandang sirah dalam pandangan binari (baik vs jahat), adakalanya membuatkan masyarakat mudah tertipu dengan watak-watak seperti ini yang wujud pada setiap zaman.

Syaitan manusia ini tidak semestinya hadir dalam hidup kita dalam bentuk hodoh dan menjengkelkan. Boleh jadi merekalah yang paling dikagumi status sosialnya, rupanya, butir bicara, perbuatan baiknya yang zahir, sehingga membuatkan kita terpengaruh dan mengidolakan mereka, walhal ianya boleh jadi sahaja membinasakan diri kita sendiri.

Wallahualam moga Allah SWT memandu kita di atas jalan yang benar.

Sumber: Mohd Shah Rizal Samsudin