
Warga Singapura Dirakam Selamba Isi RON95, Tak Hirau Walaupun Sudah Ditegur
Sejak pintu sempadan Malaysia-Singapura dibuka pada 1 April, mula timbul isu tidak enak yang mana dilaporkan beberapa warga Singapura mengambil kesempatan menggunakan petrol RON95 di sini.
Tular di media sosial beberapa keping gambar yang dirakam dan dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook, Ika Atikah, memaparkan seorang pemandu dari negara jian sedang mengisi petrol bersubsidi untuk kenderaannya.
Menurut Ika Atikah, walapun beliau telah menegur rakyat Singapura tersebut dengan memberitahu perbuatannya adalah menyalahi undang-undang Malaysia namun pemandu itu tidak menghiraukannya.
“Bro hijau je boleh, kuning tu untuk kita orang. Dah sound setepek tadi tapi dia buat muka langsi.
“Dia cari pump belakang jadi orang tak perasan. Time peak hour ramai orang dan mostly yang tengah isi minyak ialah plate SG staf memang tak perasan. Lokasi Jalan Pandan,” katanya.
Memetik sumber Malaysia Gazette, harga minyak dunia ketika ini melebihi AS$100 dolar setong Malaysia harga RON97 naik dari RM3.45 pada 3 Mac kepada RM3.91 seliter ketika ini. Manakala minyak bersubsidi kekal RM2.05 seliter.
Susulan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melakukan pemantauan lebih agresif di semua stesen minyak terutama yang berdekatan dengan sempadan.
KPNDHEP menyatakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974).
Individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi perbadanan atau syarikat, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM2 juta.
Beli RON95 guna kad kredit elak dikesan
Walaupun saban tahun isu tersebut berlaku, tetap tidak memberi kesan kepada sesetengah pihak yang mengambil hak rakyat negara ini.
Ia difahamkan kerana golongan ini membuat pembayaran menggunakan kad kredit di pam minyak selain mengambil kesempatan pada waktu puncak terutamanya semasa pelanggan ramai menyebabkan tindakan mereka ini sukar dikesan pekerja bertugas.
Sumber: Harian Metro, Ika Atikah