
Warga Singapura Catat Rekod Jumlah Tertinggi Saman Tertunggak Di Malaysia
Kita sedia maklum bahawa pengguna jalan raya di Malaysia ini bukanlah hanya untuk penduduk warganegara memandangkan pekerja di Malaysia ramai juga dalam kalangan warga asing.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, berkata kira-kira 240,501 saman trafik tertunggak membabitkan warga asing dengan jumlah mencecah puluhan jutaan ringgit yang dicatatkan bagi tempoh 2014 hingga 2018.
Dalam jumlah tersebut, warga Singapura merekodkan jumlah tertinggi saman tertunggak membabitkan 136,601 saman dan yang paling banyak melakukan kesalahan jalan raya kerana mereka yang paling banyak keluar masuk ke negara ini.
Ini diikuti warga Brunei dengan 40,101 saman tertunggak dan Thailand dengan 24,651 saman tertunggak.
Corak pemanduan antara negara Singapura dan Malaysia tidak mempunyai perbezaan kerana kedua-duanya mempunyai pemanduan stereng yang sama namun, sesetengah pemandu dari negara jiran itu terutamanya yang datang dari arah selatan menganggap jalan raya di negara ini sebagai ‘syurga’ bagi pemanduan mereka.

Susulan itu, Azisman akan berbincang dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kementerian Pengangkutan bagi menetapkan polisi mengambil tindakan terhadap warga asing yang membuat kesalahan di negara ini seperti yang dilaksanakan Singapura yang tidak membenarkan kenderaan Malaysia masuk jika masih mempunyai saman tertunggak.
Berlakunya hal sebegini mungkin mereka memandang rendah terhadap penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan mengambil sikap tidak menghormati undang-undang di negara ini.
Sepatutnya, kita perlu sama-sama menghormati apa jua bentuk undang-undang tidak kiralah berada di negara yang lebih maju atau mundur daripada negara sendiri.
Sumber: FMT, Astro Awani