Wanita Kecewa Hak OKU Pandu Lalu KFC

Wanita Luah Rasa Kecewa Dinafi Hak Pesan Makanan Melalui Pandu Lalu Hanya Sebab OKU

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Wanita Luah Kecewa Dinafi Hak Pesan Makanan Melalui Pandu Lalu Hanya Sebab OKU.

Bagi mereka yang sentiasa sibuk atau tiada masa singgah makan di mana-mana restoran, kewujudan perkhidmatan pandu lalu atau ‘drive thru’ amatlah melegakan.

Walau bagaimanapun, mungkin tidak semua kemudahan yang kita rasakan amat membantu ini dapat digunakan sepenuhnya oleh semua golongan.

Seorang wanita OKU kategori pekak dan bisu berkongsi pengalaman mengalami kesukaran ketika berada di kaunter pandu lalu di salah sebuah restoran makanan segera terkemuka di sini.

Dia yang memuat naik video di media sosial TikTok menerusi akaun @aira_meor meluahkan rasa kecewa apabila dirinya yang berhasrat membuat pesanan di pandu lalu KFC tidak dapat ditunaikan.

Apa yang membuatkan dia begitu kesal sebelum pergi apabila kakitangan restoran itu memintanya untuk masuk ke dalam restoran untuk membuat pesanan makanan setelah lama menunggu giliran secara pandu lalu.

Wanita Kecewa Hak OKU Pandu Lalu KFC
Sumber: The Edge Markets

Menurutnya, sebelum ini dia pernah membuat pesanan melalui pandu lalu di restoran yang sama dan pada waktu itu dilayan dengan baik oleh staf yang bertugas. Namun, begitu kecewa apabila kali ini haknya dinafikan.

Dalam pada itu, dia mengatakan tindakannya memuat naik video luahan itu bukanlah mahu mengaibkan mana-mana pihak tetapi mahu kejadian yang menimpanya sebagai salah seorang golongan istimewa didengari dan meminta pihak KFC menaik taraf perkhidmatan mereka agar mesra OKU.

Perkongsiannya mendapat perhatian ramai, rata-ratanya menzahirkan rasa simpati terhadap dirinya yang terpaksa berhadapan dengan situasi sedemikian.

Netizen turut bersetuju dan mengharapkan agar pihak restoran menaik taraf kemudahan buat golongan istimewa seperti mereka agar semua orang mendapat layanan sama rata.

“Di Malaysia masih belum ada kesedaran untuk melayani OKU dengan sewajarnya berbanding negara barat yang lebih mesra OKU.”

“Semua orang patut dilayan sama rata kerana kita semua sama.”

“Contoh yang nyata kenapa bahasa isyarat perlu diajar di sekolah sebagai pengetahuan bersama.”

“Abang saya pun pekak dan bisu. Tapi dia memang jarang sekali keluar pergi mana-mana sebab dia selalu kecewa dengan layanan masyarakat terhadap orang pekak.”

Pihak restoran beri maklum balas

Lantaran video tular itu, pihak KFC telah memohon maaf atas insiden yang terjadi kepada @aira_meor dan berjanji akan mengambil tindakan sewajarnya.

Wanita itu juga turut mengucapkan terima kasih kepada netizen atas sokongan dan berharap agar bahasa isyarat diajar di sekolah pada masa hadapan.