
Wanita Lapan Kali Positif COVID-19 Dalam Tempoh Dua Bulan
Seorang wanita di Kanada yang dijangkiti COVID-19 pada Mac lalu menunjukkan positif wabak itu sebanyak lapan kali.
Tracy Schofield dari Cambridge, Ontario, disahkan belum bebas daripada virus itu selepas menjalani sembilan saringan.
Wanita itu berkata, dia mengalami gejala COVID-19 termasuk demam dengan suhu 41 darjah Celcius, menggigil dan sesak nafas pada 30 Mac. Dia disahkan positif virus berkenaan untuk pertama kalinya pada esoknya.
Menurut CTV News, lebih malang apabila ketujuh-tujuh ujian saringan seterusnya mengesahkan dia masih positif virus berkenaan.
Pada ujian kelapan, dia disahkan negatif COVID-19, tetapi kegembiraannya tidak bertahan lama apabila kembali disahkan positif virus itu pada ujian kesembilan.
Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit perlu disahkan negatif menerusi dua ujian diadakan berturut-turut sebelum boleh diisytiharkan bebas virus berkenaan.
Ketika ini, Schofield masih menunggu untuk menjalani ujian saringan untuk kali ke-10. Kini, selepas lebih 50 hari dia memberitahu kepada CTV dia masih mengalami sesak nafas.
Tracy Schofield yang tinggal bersama anaknya yang berusia 17 tahun berkata, dia tidak mempunyai masalah kesihatan tetapi bimbang virus itu menyebabkannya berisiko terdedah kepada penyakit lain. Selama dua minggu setelah membuat uji pertama, wanita itu hanya kuarantin di rumah bersama anaknya.
Dalam pada itu, Profesor Immunologi di Universiti Waterloo di Ontario, Brian Dixon, berkata, terdapat kebarangkalian ujian saringan memberi keputusan salah.
“Ia memandangkan individu hanya memberi sampel yang kecil daripada badan mereka,” katanya.
Laporan anekdot awal menunjukkan bahawa beberapa kit ujian mengesan COVID-19 dengan tepat hanya 70 peratus pada satu masa, yang bermaksud kira-kira satu pertiga pesakit akan menerima keputusan negatif palsu.
Kajian sebelum ini menunjukkan bahawa pesakit COVID-19 dapat menumpaskan virus selama hampir dua bulan setelah timbulnya gejala. Walau bagaimanapun, seperti kes Schofield, menunjukkan bahawa diperlukan lebih banyak kajian mengenai jangka hayat virus tersebut.
Sumber: New York Post
Trending now



