Wanita Basikal Lajak Tidak Salahkan Sistem Kehakiman

Wanita ‘Kes Basikal Lajak’ Minta Semua Pihak Tidak Berdebat, Salahkan Sistem Kehakiman

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pesalah kes memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak, kecewa ada pihak menyalahkan sistem undang-undang dan kehakiman negara.

Menurut peguamnya, Muhammad Faizal Mohktar, anak guamnya itu menyedari ramai pihak yang sedang berdebat berhubung kes yang dihadapinya.

“Bagi Sam, dia percaya kepada kedaulatan undang-undang dan dia akur dengan sebarang keputusan mahkamah.

“Dia melahirkan rasa kecewa apabila pihak menyalahkan sistem kehakiman. Apabila dia menang, sistem kehakiman (dikatakan) rosak dan sebagainya,” katanya.

Mengulas lanjut, anak guamnya tidak mahu kesnya dilihat daripada perspektif perkauman, tetapi sebagai insiden malang yang boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Katanya, tertuduh faham isu ini membabitkan nilai nyawa manusia. Justeru, kes ini bertembung dengan isu kebebasan seseorang tertuduh selagi tidak dibuktikan bersalah dan pada masa sama pendakwa raya memperjuangkan mengenai nilai manusia.

Semasa memberi keterangan bela diri di Mahkamah Majistret, anak guamnya berkali-kali mengucapkan rasa simpati terhadap kehilangan ahli keluarga yang terlibat.

Menurutnya, Sam Ke Ting memperjuangkan kebebasan yang dirasakan sangat berharga dan mesti dibayar dengan harga yang mahal.

Pihak Pendakwaan Fail Rayuan Ke Atas Tertuduh Kes Basikal Lajak, Ini Sudut Pandangan Peguam Bela Jenayah 4

Mahkamah rayuan pada Isnin membebaskannya dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan rayuannya terhadap sabitan dan hukuman.

Minggu lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak lima tahun lalu.

Sabitan ke atas Sam mendapat reaksi banyak pihak, yang menyaksikan petisyen dalam talian menggesa dia dibebaskan mencecah lebih 860,000 tandatangan.

Sumber: Awani