
Wanita Disebat 100 Kali Kerana Mengaku Berzina, Pasangannya Pula Terima ‘Hukuman Ringan’
Macam tak logik, tetapi itulah yang berlaku pada Khamis lepas apabila seorang wanita disebat kerana mengaku berzina manakala pasangannya pula ‘terlepas’ begitu sahaja.
Wanita yang mengaku berzina tersebut disebat sebanyak 100 kali selepas dijatuhi hukuman oleh mahkamah manakala pasangan lelakinya hanya disebat 15 kali sahaja!
Ini selepas pasangannya itu dengan sekeras-kerasnya menafikan sebarang salah laku sehingga hakim pun sukar untuk menyabitkannya dengan kesalahan berzina.
Lebih hebat, lelaki tersebut pada mulanya dijatuhi hukuman 30 sebatan tetapi akhirnya dikurangkan kepada 15 sahaja selepas berjaya mengemukakan rayuan di Mahkamah Agung.

Fuh! Betul punya ‘power’ ayat lelaki tu, kan? Dari kena tuduh berzina, boleh lepas dengan sebatan 30 kali je. Lepas tu, boleh mintak diskaun 50% lagi.
Rasanya, di sekolah asrama dulu-dulu pun, kalau kes ‘kantoi’ dating mahupun kes lambat turun surau, nescaya lagi teruk dari tu hukuman yang dikenakan oleh ustaz merangkap warden.
Kedua-dua lelaki dan wanita dari Aceh Timur, Indonesia tersebut telah menjalani hukuman tersebut pada 13 Januari 2022 yang lalu selepas ditangkap orang ramai di sebuah ladang kelapa sawit pada 2018.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Am di Pejabat Pendakwaan Aceh Timur, Ivan Najjar Alavi, wanita yang sudah berkahwin tersebut mengaku salah dan hukuman lebih berat terpaksa dikenakan terhadapnya.
Bagaikan plot filem arahan Ridlet Scott, The Last Duel yang dibintangi Adam Driver dan Matt Damon, pasangan lelakinya yang juga sudah berkahwin tersebut pula tidak mengaku apa-apa dan menafikan tuduhan sama sekali.
Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman ‘alternatif’ sahaja selepas lelaki tersebut didapati bersalah kerana ‘bercinta’ dengan pasangan wanita yang bukan isterinya.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan hukuman jenayah di bawah undang-undang Syariah dan majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Menurut undang-undang Syariah di Aceh, hukuman sebat dilaksanakan bagi kesalahan seperti zina, judi, arak dan seks sama jantina.
Walaupun wanita yang mengaku berzina tersebut disebat berkali-kali sehingga genap 100 kali sebatan, namun menurut laporan, atas dasar peri kemanusiaan, hukuman tersebut dihentikan seketika dan disambung kembali selepas beliau didapati tidak dapat menanggung kesakitan.
Berpuluh-puluh orang menonton dan turut memuat naik rakaman hukuman tersebut di media sosial. Angka ini kebiasaanya mencatat hingga ratusan orang sebelum pandemik melanda dan telah dikritik oleh kumpulan hak asasi manusia.
Dalam masa yang sama, seorang lelaki lain turut dijatuhi hukuman 100 kali sebatan dan penjara selama 75 bulan selepas dituduh merogol seorang remaja bawah umur.
Tidak dinyatakan pula sama ada lelaki tersebut mengaku atau tidak atas tuduhan tersebut.
BACA: Kisah Farkhunda Malikzada, Wanita Afghanistan Yang Dibunuh Kejam Atas Tuduhan Bakar Al-Quran
Sumber: TheStar