
“Wanita Bertudung Pun Ada Terlibat Jadi Software Developer Website Scam Company”
Seorang pengguna Facebook, Najmi Zabidi menasihatkan orang ramai yang mempunyai kepakaran atau lulusan dalam bidang pembangunan aplikasi atau pengaturcaraan komputer agar lebih berhati-hati dalam memilih pekerjaan.
Ini berikutan banyak peluang pekerjaan yang kini menawarkan gaji lumayan berkemungkinan merupakan syarikat milik sindiket penipuan dan pekerjanya juga boleh didakwa bersubahat.
Berikut merupakan hantaran ringkas yang dibuat oleh Najmi mengenai satu tangkapan yang dibuat oleh pihak polis baru-baru ini:
Wanita bertudung pun ada terlibat jadi software developer website scam company.
Agaknya nak kena masuk syllabus, How To Spot A Cybercriminal Company untuk fresh graduates.
——
Menurut pautan laporan berita yang disertakan oleh Najmi tersebut, satu sindiket penipuan yang aktif membangunkan aplikasi bertujuan untuk mengakses data pengguna berjaya ditumpaskan hasil maklumat dan risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan JSJK Kontinjen Johor.
Modus operandi sindiket itu adalah dengan mengiklankan jualan barang dengan harga murah di media sosial bagi menarik minat mangsa sebelum diberikan satu pautan untuk tujuan pembayaran.
Walau bagaimanapun, ketika pembayaran hendak dibuat menerusi pautan yang membawa kepada aplikasi yang dibangunkan sindiket itu, mereka akan mula menggodam segala data yang diberikan mangsa sehingga dapat mengakses akaun bank sekali gus mengambil wang mangsa tanpa diketahui mangsa.
Sindiket berkenaan juga turut dipercayai menjual aplikasi yang dibangunkan kepada sindiket penipuan yang lain dengan harga yang boleh mencecah sehingga RM30,000 dan difahamkan lebih 100 aplikasi ini sudah dijual.
Suspek dua lelaki dan empat wanita itu terdiri daripada seorang pemilik syarikat, tiga pemaju perisian (software developer) serta dua pereka multimedia (multimedia designer) masing-masing berusia antara 21 hingga 39 tahun.
Seperti yang menjadi perhatian Najmi, dapat diperhatikan kesemua yang terlibat dengan sindiket itu termasuk pekerja wanitanya yang bertudung turut ditahan dalam operasi pihak polis tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 120 kanun sama kerana melakukan pakat jahat jenayah.
BACA: Kena ‘Scam’! RM10K Lesap Dalam Sehari Gara-Gara Muat Turun Aplikasi Ini
Sumber: Najmi Zabidi
Trending now



