
Walaupun PKP Tamat, Malaysia Masih Perlu ‘Berperang’ Hingga Tahun 2021
Malaysia masih perlu berperang hingga tahun 2021.
Sejak empat hari berturut, kita mendapat berita melegakan apabila jumlah kes melibatkan COVID-19 semakin berkurangan, diikuti dengan jumlah pesakit sembuh yang semakin banyak.
Nampaknya, keadaan akan bersinar kembali tetapi bagi membendung supaya wabak COVID-19 hilang secara keseluruhan di Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunai (WHO) telah mengumumkan bahawa Malaysia dijangka mungkin terpaksa memerangi wabak ini sehingga tahun 2021.
Kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, apa yang perlu difikirkan ialah perancangan strategi yang boleh diguna dan diamalkan sehingga tahun depan berikutan belum ada vaksin boleh melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.
Apa yang penting ketika kini, katanya, ialah negara dapat mengurangkan bilangan kes jangkitan walaupun belum dapat menamatkan episod jangkitan COVID-19.
“Selain menjalankan ujian terhadap antibodi seperti dicadangkan pakar untuk komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kewujudan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dalam komuniti yang menentukan kewujudan virus itu.
“Tetapi sekarang kita lihat kes ILI dan SARI semakin berkurangan. Kalau berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan bagi masa depan.
Daripada kes yang sedang dikaji Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), tindakan seterusnya ialah bagaimana kita dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
Rakyat Malaysia berkemungkinan perlu mengubah aktiviti harian atau erti kata lain, aktiviti, kelaziman kita akan berbeza selagi vaksin COVID-19 tidak ditemui.
Dr Noor Hisham berkata, walaupun sudah ada penurunan jumlah pesakit disahkan positif COVID-19 sejak dua minggu kebelakangan ini, pihaknya mahu melihat statistik itu berkurangan menjadi satu angka.
Untuk membolehkan itu berlaku, katanya, semua pihak perlu bekerjasama dan memastikan orang awam terus tinggal di rumah.
Beliau berkata, jika PKP yang dijadualkan berakhir pada 28 April ini ditamatkan, KKM menasihatkan orang ramai untuk terus berada di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan berbuat demikian.
“Kita sedang melihat cara untuk mengurangkan impak selepas PKP ditamatkan supaya semua pihak boleh kembali kepada apa yang dikatakan sebagai kelaziman baharu.
“Ia mungkin mengambil sedikit masa, mungkin tiga bulan, mungkin enam bukan. Dasar kita mesti berubah dari segi tiada perhimpunan awam, penjarakan sosial mesti diamalkan dan sentiasa mengingatkan orang awam untuk mencuci tangan dan yang penting sekali jika tiada hal di luar, duduk di rumah,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, kajian mencari sesuatu vaksin selalunya mengambil masa antara setahun sehingga setahun setengah sebelum memasuki pasaran. Setakat ketiadaan vaksin, pihak kesihatan hanya menggunakan kaedah kesihatan awam iaitu pencegahan lebih baik daripada rawatan iaitu cara kelaziman hidup dan tingka laku.
Sumber: BH