
Walaupun Mengatasi Apple Dan Samsung, Kenapa Xiaomi Masih Sering Dianggap ‘Cikai’?
Sejak memasuki pasaran Malaysia pada 2014, jenama telefon pintar Xiaomi terus mendapat tempat di kalangan pengguna tempatan.
Kini, Xiaomi khabarnya telah berjaya memintas jenama Apple dan Samsung untuk menjadi telefon pintar nombor 1 pilihan rakyat Malaysia.
Namun di sebalik itu, entah kenapa masih lagi timbul kisah mengenai jenama Xiaomi yang sering kali ‘dianaktirikan’ dan dianggap sebagai ‘cikai’ berbanding jenama telefon pintar yang lain.
Dr Abdul Rahman A Shukor yang merupakan seorang pemilik telefon pintar Xiaomi melalui akaun Facebooknya, Abdel Rahmanov turut kesal dengan tanggapan masyarakat mengenai jenama dari China ini.
Jom baca hantarannya berikut yang menceritakan tentang pengalaman pahitnya baru-baru ini menjadi salah seorang pemilik Xiaomi.
1) Saya pakai telefon pintar Xiaomi. Saya pergi ke kedai aksesori henfon yang banyak cawangan untuk mencari casing henfon. Tetapi penjual bagitau saya,
“Kat sini ada casing iPhone dan Samsung je bang..”
Aduh! Terasa cikai betul henfon Xiaomi ini. Bukan semua orang mampu pakai henfon kayangan seperti iPhone, Samsung dan Huawei.
2) Xiaomi adalah produk China tetapi menawarkan spesifikasi telefon pintar yang lebih baik berbanding pesaing dengan harga yang berbaloi.
3) Xiaomi tidak aktif membuat promosi produk mereka seperti Apple dan Samsung tetapi setiap kali pelancaran model baharu Xiaomi pasti sold out. Pelik bukan?
4) Hal ini berlaku kerana Xiaomi menggunakan kekuatan promosi organik daripada pengguna atau Word-of-Mouth Marketing. Promosi begini adalah gratis dan lebih dipercayai (trusted).
5) Sebenarnya Xiaomi adalah jenama nombor wahid di Malaysia. Sila rujuk The Star bertarikh 9 Dis 2022.
6) Counterpoint Research melaporkan jenama Xiaomi mengatasi jenama Samsung dan Apple pada bulan Jun 2021 untuk menjadi jenama henfon nombor wahid di dunia buat pertama kali.
7) Xiaomi juga telah menjual 800 juta unit telefon pintar sejak kemunculan jenama Xiaomi pada tahun 2011. 800 juta unit bukan nilai yang kecil.
8) Firma Canalys melaporkan Xiaomi mengatasi Apple untuk menjadi jenama telefon pintar kedua terbesar di dunia.
9) Xiaomi menguasai 17% pasaran henfon dunia, Apple 14% dan Samsung 19%. Sila rujuk laporan CNBC 16 Julai 2021.
10) Perkara pasti Xiaomi bukan brand cikai! Pengguna Xiaomi tidak malu untuk mengaku mereka guna Xiaomi. Sila baca komen-komen di bawah.
11) Moga selepas ini kedai-kedai aksesori telefon pintar memperbanyakkan aksesori untuk telefon pintar Xiaomi. Salam hormat.
Dr. Abdel Rahmanov
30 Disember 2022
BACA: Kes Telefon Bersubsidi Terbakar, Xiaomi Gantikan Dengan Redmi Note 10 5G
Sumber: Abdel Rahmanov