Daging Penguin Halal Dimakan

Penguin, Walaupun Comel Adakah Halal Untuk Dimakan?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ramai ke baru tahu penguin halal untuk dimakan?

Perkataan halal sering digunakan dalam penentuan hukum makanan dan sebagainya. Ia memberi erti harus atau boleh. Apabila sesuatu jenis makanan itu dikatakan halal dimakan, bermaksud ia boleh dimakan.

Islam menuntut bahawa memakan makanan yang halal adalah lebih baik. Umum mengetahui, semua binatang buas yang mempunyai taring yang kuat untuk menangkap mangsa adalah haram.

Binatang seperti anjing, khinzir, serigala, beruang, kucing, gajah, singa, harimau, kera dan seumpama dengannya adalah haram dimakan.

Burung yang haram dimakan pula ialah burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan seperti burung hering, semua jenis burung helang dan burung rajawali.

Namun, bagi haiwan penguin yang merupakan spesies burung dikategorikan halal dimakan oleh umat Islam.

Menurut Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi portal Maktabah Al-Bakri, daging penguin halal untuk dimakan kerana haiwan itu termasuk dalam kategori burung air.

Daging Penguin Halal Dimakan
Sumber: Popular Science

Jelasnya, penguin tidak termasuk dalam kategori burung yang mempunyai kuku yang kuat dan boleh melukakan sebagaimana yang dilarang oleh Nabi Muhammad SAW.

“Comel dan halal. Namun ada sebahagian spesiesnya seperti emperor penguin sedang terancam. Bersama kita lindunginya,” ciapnya di laman Twitter.

Dr Zulkifli juga mengatakan pada asasnya, ulama mazhab Syafie berpendapat, semua jenis burung air adalah halal untuk dimakan kecuali burung bangau kerana terdapat perbezaan pendapat mengenainya.

“Tambahan lagi Imam al-Ghazali ada menyebutkan bahawa semua burung air itu hukumnya adalah harus untuk dimakan dan begitu juga seluruh haiwan air yang lain kecuali haiwan yang ada bandingannya dengan haiwan di darat yang haram.”

Walaupun Malaysia bukanlah habitat bagi penguin dan terlalu comel untuk dimakan, sekurang-kurangnya kita dapat menambah satu lagi ilmu dan pemahaman lanjut mengenai halal haram makanan.

Persoalan ini juga membantu mereka yang menyangkakan haiwan penguin merupakan haiwan dua alam yang haram untuk dimakan.