
Wajarkah Cuti Paterniti Di Malaysia Dilanjutkan Lebih Dari 7 Hari?
Terdapat perbincangan hangat ketika ini yang mahukan cuti paterniti untuk kaum bapa dilanjutkan lebih dari 7 hari.
Cuti paterniti atau cuti bagi menemani isteri bersalin diwujudkan supaya para suami dapat bersama-sama dengan isteri bagi menyambut kelahiran anak, menjaga isteri berpantang serta menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, menyelesaikan urusan pendaftaran anak dan lain-lain.
Sebelum ini, pindaan Akta Kerja 1955 (Akta 265) menyaksikan cuti paterniti telah pun dinaikkan daripada 3 hari kepada 7 hari.
Langkah ini dibuat selepas mengambil kira peranan penting yang dimainkan oleh para suami ketika proses kelahiran anak yang sudah tentu dapat meringankan lagi beban yang dipikul oleh para isteri pada hari ini.
Seorang guru, Mohd Zailee yang baru saja menyambut kelahiran cahaya mata (tahniah!) turut berpendapat bahawa cuti paterniti ini patut ditambah lagi dalam satu hantaran yang dibuat di Facebooknya berikut.
Lepas isteri bersalin tempoh hari, barulah saya sedar betapa pentingnya paternity leave ni. Sebagai kakitangan kerajaan, saya sebagai suami dapat cuti selama 7 hari. Tapi memang benar, itu tak cukup. Saya pasti orang yang pernah melalui benda tu sependapat dengan saya.
Jadi bila wartawan The Star cuba naikkan isu ini 2,3 hari ini, saya rasa bersyukur. Suara hati saya dan sebahagian besar bapa disampaikan mereka. Ini baru betul aspek kewartawanan yang berkualiti.
Namun begitu, bila baca komen, ramai pula yang tak setuju. Majikan tak suka pekerja cuti lama. Rakan sekerja pula tak suka terpaksa ganti kerja orang lain. Begitulah. Tak boleh salahkan mereka juga. Semua orang ada hak masing-masing dan mereka berhak menyatakan situasi mereka. Belum masuk yang bujang lagi. Orang bujang pun ada hak.
Jadi, untuk merombak perkara ini, mahu atau tidak, kena ada campur tangan dari kerajaan.
Negara-negara Eropah lazimnya paternity leave ni berbulan-bulan. Bolehlah tengok kat sini. Ini data terbaru. https://www.euronews.com/next/2022/02/18/where-in-europe-should-you-live-to-get-the-longest-paternity-leave
Namun begitu, kita kena ingat. Apa yang boleh dilaksanakan di Eropah, tak semestinya boleh dilaksanakan di negara kita. Nak kena ubah suai kalau nak buat juga.
Apa pun, memang 7 hari untuk aku tu tak cukup. Kalau boleh, ejas la lebih sikit. Semua benda dalam dunia ni boleh jadi power kalau institusi keluarga dalam negara tu kuat. Kan semua benda bermula dari rumah. Barulah sesuai dengan tagline #KeluargaMalaysia
—–
Apa pendapat anda? Wajar tak cuti paterniti ditambah seminggu lagi? Atau dilanjutkan terus ke sebulan? Jangan lupa tinggalkan komen, ya?
BACA: Pelaksanaan Kerja 4 Hari Seminggu Di Malaysia Mungkin Tidak Sesuai
Sumber & kredit foto: Facebook Mohd Zailee