Budaya Troll

Wajarkah Budaya Sindir, Ejek, Buli Dan ‘Troll’ Dibiarkan Menjadi Satu Kebiasaan?

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hanya kerana ‘posting’ yang berbaur sindiran berkias, berlaku ketegangan di media sosial di antara dua pihak sehingga timbulnya ugutan untuk saman-menyaman di mahkamah.

Ditambah pula dengan campur tangan netizen yang menganggapnya sebagai satu bentuk hiburan dan turut sama ‘membahan’ sekadar untuk mengeruhkan lagi keadaan.

Tidak kiralah siapa pun yang berada di pihak yang benar, wajarkah budaya seperti ini dibiarkan atau dinormalisasikan dalam masyarakat kita?

Menulis di Facebooknya, Dr Syahr Musafir cuba mengupas isu panas ini melalui hantarannya berikut untuk dijadikan renungan kita bersama.

Budaya Troll

Mungkin ada rasa ralat, tak suka atau annoyed dengan sikapnya yang selalu ‘nak menyelesaikan’ masalah orang lain, tetapi saya tidak rasa tindakan sarcasm atau menyindir yang dibuat oleh pihak lain terhadapnya itu sebagai satu tindakan yang baik.

Isunya jadi panas apabila pihak pasaraya M (bukan nama sebenar) membuat posting sinikal berbaur sindiran berkaitan ‘nak beli tea tetapi terbeli cap dan rice’ – kalau bukan sindiran nakal, saya mengagak pihak M pasti tulis teh (bukan tea), topi (bukan cap) dan beras (bukan rice dan bukan nasi) memandangkan posting itu pada asasnya ditulis dalam Bahasa Melayu, bukan Inggeris.

Sebagai manusia biasa, tak pelik pun apabila selebriti K (bukan nama sebenar) terasa hati, marah, kecewa, terkesan atau seumpamanya hingga menyiarkan ‘tawaran’ permohonan maaf yang jika tidak dilakukan, pihaknya akan menyaman pihak M. Sangat normal bagi orang seperti K untuk memberi respon sedemikian tak kisahlah orang nak kata dia over sensitive ke, koyak ke, apa ke. It is normal je, he might not be serious pun sebab di media sosial, orang boleh buat jokes dengan ayat nak saman.

‘Kemarahan’ K dijawab dengan sindiran cili pedas (siapa makan cili, dia terasa pedasnya) oleh M. Ditambah oleh pihak O (bukan nama sebenar) dan beribu-ribu netizen serta influencers lain. Ibarat menambah bara ke dalam api, isu panas jadi lebih marak, merebak dan panasssss diiringi gelak ketawa oleh ramaiiiiii orang.

Mungkin dirasakan lawak oleh ramai orang, seronok kerana dapat kenakan K, ‘into the scene’ dan seumpamanya. Tetapi sedar tak sedar, kita seolah mengiyakan budaya sindir, troll, cyber bullying dan seumpamanya semacam membenarkan budaya ini berterusan.

Nampak lucu, tetapi orang yang dibuli takkan rasa happy. Reaksi koyak, terasa hati, atau seumpamanya adalah normal walaupun dianggap tidak professional oleh sebilangan orang. K mungkin sedang buat perkara yang menjengkelkan orang, tetapi itu bukan tiket untuk kita atau orang lain jadikan dia bahan troll, ejekan atau seumpamanya pun kan…

Saya lebih suka tindakan Cikgu Fadli (yang ini saya sebut nama sebenar walaupun bukan nama penuh) yang berlapang dada memohon maaf terhadap K walaupun Cikgu Fadli tidaklah secara langsung berbuat salah terhadapnya pun.

Saya dulu pun pernah jadi manusia yang pandai troll atau ‘sindir berkias’ tetapi masa menyedarkan saya, wajib untuk jadi lebih matang dan membetulkan yang biasa, membiasakan yang betul. Kata-kata sindiran, mengejek dan seumpamanya boleh mengeruhkan keadaan, takkan pernah menjernihkan jiwa.

Sekarang ini seboleh mungkin kalau marah, marahlah dengan betul. Memang saya tak nak sindir, sarkastik atau seumpamanya dah. Kita makin tua.

Moga kita semua dapat hentikan budaya troll orang walaupun kita berada pada pihak yang betul. Selama ini kita cakap hentikan cyber bully, body shaming (atau seumpamanya), kesannya terhadap kesihatan mental bla bla bla jadi kenapalah kali ini kita join dan ikut terlibat?

FB Syahr Musafir II
Jumaat 21/10/2022

BACA: Ugut Nak Saman Hanya Kerana ‘Koyak’, Ikuti Pandangan Seorang Peguam Terkemuka

Sumber: Syahr Musafir