
‘Wajah Berubah 70% Dari Asal, Bibir Hitam’ – Ustaz Kazim Dedah Terkena Penyakit ‘Ain
Menurut pendakwah Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan, penyakit ‘ain disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat hasad dengki atau iri hati.
Ujarnya, ia juga akibat rasa takjub terhadap apa yang dipandang walaupun tanpa sekelumit pun rasa iri hati, tidak kiralah sama ada daripada orang soleh atau orang yang dicintai sekalipun.
Memetik pandangan Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani dalam kitab Fathul Bari bahawa: “Ain adalah pandangan hasad daripada tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.”
Ustaz Kazim dedah terkena penyakit ‘ain
Baru-baru ini, pendakwah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias menjadi perhatian ramai susulan pendedahannya disihir.
Menerusi perkongsian tular itu, Ustaz Kazim memaklumkan bahagian mukanya agak panas dan terasa pedih. Beliau sebelum ini mengalami bengkak pada bahagian betis dan kaki kirinya.
Menerusi kuliah Sembang Santai Bersama Duke di laman Facebook rasmi beliau pada Selasa, Ustaz Kazim sempat memaklumkan keadaan dirinya yang terkini.
Beliau yang sering muncul dalam program dan forum agama Islam di kaca televisyen sebelum ini mendedahkan mengalami perubahan fizikal yang ketara pada wajah terutama bahagian mata dan bibir.
“Inilah dia, jadi tuan puan boleh tengok sendiri macam mana. Saya rasa wajah saya mungkin berubah 50 hingga 70 peratus daripada yang asal.
“Nampak lain kan? Itulah sahaja yang dapat saya beritahu apabila orang bertanya tentang kesihatan saya.
“Lihat mata dan hujung mata, lihat bibir dan bawah bibir. Habis jadi hitam,” katanya.
Ustaz Kazim menambah, penderitaan yang dialaminya kini mungkin disebabkan penyakit ‘Ain berkaitan hasad dengki dan iri hati pihak yang tidak menyukainya.
Ujarnya yang kini sedang menerima rawatan, jika masih belum sembuh juga, beliau perlu mandi di sungai pada waktu Subuh sebagai usaha mendapatkan kesembuhan daripada penyakit yang dialaminya.
Menerusi perkongsian sama, Ustaz Kazim mengulas bahaya penyakit ‘ain dengan berkata, Rasulullah SAW menyebut, di antara penyakit yang paling banyak membawa kematian ialah penyakit ‘ain.
“Ada yang bertanya penyakit ‘ain itu bahayakah? Rasulullah menyebut penyakit ‘ain ialah penyakit yang paling cepat membawa kematian. Ia bukan penyakit biasa,” katanya.
@azlanazs #penyakit #ain #fyp #datoustazkazimelias #dakwah #islamic_video #tiktokguru_malaysia #viral #viralvideo
Dalam pada itu, beliau turut meminta titipan doa daripada semua agar diberikan kesembuhan segera.
Trending now



