COVID-19 Malaysia Berakhir

Wabak COVID-19 Di Malaysia Dijangka Berakhir Pada Pertengahan Julai Ini

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yakin wabak COVID-19 di Malaysia akan berakhir pada 14 Julai depan.

Ia berdasarkan data perbandingan kes harian COVID-19 ditolak kes import, kes warga asing di depoh tahanan dan warga asing dalam komuniti) berbanding unjuran pemodelan pada 21 Mei. Itupun, sekiranya rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Unjuran kes harian penularan tempatan melibatkan rakyat negara ini adalah sejajar dengan pemodelan yang diramal oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya, unjuran tersebut menggambarkan impak positif tindakan yang telah diambil kerajaan selain pematuhan rakyat terhadap SOP.

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia kerana memberi kerjasama kepada kerajaan untuk mencapai pencapaian ini bagi membendung penularan COVID-19,” katanya.

Kata Dr Noor Hisham, masyarakat harus kekal waspada dan terus patuh kepada SOP serta saranan yang ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan masyarakat setempat.

COVID-19 Malaysia Berakhir

Sementara itu, berdasarkan data bilangan kes baharu, kes tertinggi direkodkan di Melaka dengan 13 kes membabitkan kes import diikuti Selangor merekodkan 11 kes baharu, Negeri Sembilan sebanyak dua kes penularan tempatan manakala Sabah satu kes.

Pada perkembangan sama, tiga kluster telah tamat di mana tiada lagi kes aktif direkodkan. Ia melibatkan Kluster Madrasah Ayer Merbau, Kluster Kampung Baru dan Kluster Malayan Mansion.

Dalam kes terbaharu ini, seorang banduan bukan warganegara di penjara Sungai Buloh disahkan positif COVID-19. Susulan itu, beliau berkata KKM akan menyaring lebih 800 banduan serta 700 kakitangan di penjara itu.

Manakala satu kluster baharu di kesan di Cheras melibatkan pangsapuri. Ketika ini enam orang dikesan positif dalam kluster itu dan semuanya adalah rakyat tempatan.

Difahamkan, kes tersebut berkaitan dengan kluster sekolah tahfiz dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Sumber: Sinar Harian