Rich Estranged Wakil Rakyat Sabah

Vokalis Kumpulan Estranged, Rich Bersedia Jadi Wakil Rakyat Di Sabah

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Vokalis Kumpulan Estranged, Rich Bersedia Jadi Wakil Rakyat Di Sabah.

Kumpulan ini tidak perlu diperkenalkan secara terperinci pada umum. Sebut saja judul lagu Itu Kamu dan Aurora, pastinya semua dapat membayangkan jenis genre lagu yang dibawakan Estranged.

Di sini, bukanlah untuk menceritakan perjalanan muzik mereka. Apa yang lebih menarik tentang kumpulan Estranged, vokalisnya iaitu Rich Gimbang mengakui sudah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang berkemungkinan akan diadakan dalam masa tiga tahun lagi.

Memetik sumber mStar, Rich berkata dia mengambil keputusan untuk bertanding menjadi calon wakil rakyat Tambunan, Sabah selepas dua tahun melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Estranged di kawasan perkampungan daerah itu.

Menjadi wakil rakyat kerana mahu membantu penduduk kampung pendalaman yang berhadapan dengan masalah air, elektrik selain fokus kepada pendidikan generasi muda.

“Buat masa sekarang, saya hanya umum mengenai keputusan saya untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, bukan yang terkini. Saya akan bertanding untuk calon wakil rakyat Tambunan,” katanya.

Katanya, dia dan ahli kumpulan Estranged selalu melakukan CSR ke kampung pendalaman sekitar kawasan Tambunan sejak 2018. Setakat ini, masih belum tentu lagi untuk menyertai mana-mana parti tetapi sudah bersedia untuk bertanding.

“Saya ada visi sepanjang tiga tahun sebelum pilihan raya seterusnya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk kampung terutamanya yang berdepan dengan masalah air, elektrik dan internet.”

Beliau juga fokus kepada pendidikan untuk anak-anak muda kerana mahu pastikan generasi muda di perkampungan mendapat pendidikan yang lebih baik.

Rich turut memuat naik poster di Instagram miliknya yang memberitahu sudah memulakan kempen untuk menjadi calon wakil rakyat di negeri Sabah.

Rich Estranged Wakil Rakyat Sabah
Sumber: NST

“Saya dan rakan-rakan akan pergi ke kawasan perkampungan untuk berkenalan dengan penduduk di sana. Saya tak nak ada pihak kata orang undi saya sebab artis.

“Saya nak orang kenal bukan setakat sebagai artis sahaja tapi boleh buat kerja dan saya juga nak memahami keadaan mereka serta apa yang mereka perlukan,” ujarnya.

Ini bukanlah kali pertama seorang selebiriti menjadi calon pilihan raya di Sabah. Penyanyi yang terkenal dengan lagu ‘Anak Kampung’, Jimmy Palikat juga bakal bertanding dalam PRN Sabah terkini di DUN Tambunan sebagai calon bebas.

Selain Jimmy, pelakon dan pelawak, Abu Bakar Ellah pernah bertanding di DUN Kuamut sebagai calon bebas pada PRU ke-11. Bagaimanapun, beliau tewas dalam persaingan 5 penjuru di kawasan berkenaan ketika itu.

Sumber: mStar