
Virus COVID-19 Kini Bermutasi Tiga Keturunan, Sudah Tersebar Di Seluruh Dunia – Kajian
Virus COVID-19 yang awalnya dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun 2019 kini sudah bermutasi sehingga tiga keturunan, tersebar ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS) melalui kajian salur genetik, menurut kajian Universiti Cambridge di United Kingdom.
Penyelidik melakukan penjujukan 160 genom virus dan mereka memetakan beberapa penyebaran asal koronavirus melalui mutasinya, yang menghasilkan keturunan virus berbeza.
Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal National Academy of Sciences pada Jumaat lalu. Melalui penemuan itu, penyelidikan mendedahkan tiga varian berbeza Covid-19, yang terdiri daripada kelompok-kelompok keturunan yang berkait rapat iaitu varian A, B dan C.
Pakar genetik, Dr Peter Forster dan rakan sekerja mendapati bahawa jenis Covid-19 paling dekat yang ditemui dalam kelawar ialah jenis A iaitu virus asal yang dipindahkan ke manusia di Wuhan.

Bagaimanapun, varian A Covid-19 kini dapat juga dilihat berada di dua negara seperti AS dan Australia melalui rakyatnya yang sebelum ini menetap di Wuhan.
Data menunjukkan varian A adalah yang paling lazim di Australia dan AS, yang telah mencatatkan lebih daripada 400,000 kes Covid-19.
Varian B pula ialah virus dalam kalangan pesakit yang menjangkiti manusia di Wuhan dengan kebanyakannya dalam kalangan pesakit di Asia Timur.
Varian C pula ialah jenis yang terdapat di Eropah seperti pesakit awal di Perancis, Itali, Sweden dan England dan varian ini bukan berasal dari tanah besar China sebaliknya dari Singapura, Hong Kong dan Korea Selatan.
Secara ringkasnya dalam penemuan itu ialah varian A, iaitu yang paling dekat dengan virus yang terdapat pada kelawar dan tenggiling, digambarkan sebagai punca wabak, manakala jenis B berasal daripada A, dipisahkan oleh dua mutasi, sementara C merupakan anak daripada varian B.
“Virus jenis B boleh menjadi imunologi atau menyesuaikan diri dalam alam sekitar melalui sebahagian besar penduduk di Asia Timur. Kami juga melihat kadar mutasi yang lebih perlahan di Asia Timur berbanding tempat lain dalam fasa awal ini,” kata Forster.
Para saintis percaya virus berkenaan yang secara rasminya dipanggil SARS-CoV-2, sentiasa bermustasi untuk mengatasi rintangan sistem imun pada populasi yang berlainan.
Sumber: Sinar Harian
Trending now



