
Video Intim Yang Sedang Tular Mungkin Guna Kaedah ‘Deep Fake’?
Minggu lepas, kita dihebohkan dengan rakaman klip video intim yang melibatkan salah seorang pelakunya mirip menteri kabinet dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Aziz.
Bagaimanapun, menteri kabinet yang dikatakan terlibat dengan video berkenaan menafikan dan mengatakan yang dibuat adalah salah satu usaha untuk mencemarkan reputasi serta keperibadian beliau selain daripada mahu memusnahkan kerjaya politiknya.
Video intim berkenaan merupakan rakaman terkini dalam skandal seks membabitkan ahli politik Malaysia.
Dengan kemajuan teknologi pada masa ini, kita sukar untuk menentusahkan adakah perkara sedemikian benar atau palsu. Teknologi terkini yang sering digunakan dan amat berkuasa pada masa sekarang iaitu teknologi deep fake.
Apa itu teknologi deep fake dan kaitan dengan video yang sedang tular?
Deep fake merupakan gabungan istilah deep learning dan fake iaitu kaedah memanipulasi wajah dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Jika dahulu terkenal dengan teknik superimpose, kaedah ini pula adalah versi terkini yang telah ditambah baik.
AI digunakan untuk menganalisis rakaman sebenar manusia, yang wajahnya kemudian ditindih pada video palsu bagi menghasilkan keputusan yang realistik.
Melalui perkembangan teknologi deep fake yang terkini, perisian terbaru membolehkan pengguna hanya perlu meletakkan transkrip teks atau menukar perkataan yang disebutkan oleh seseorang itu di dalam video.
Teknologi disebalik deep fake ini dinamakan Generative Adversarial Networks (GANs). Keistimewaannya teknologi ini boleh menjana imej sendiri dengan bantuan pelbagai jenis data imej yang lain.
GANs juga berupaya membantu menterjemah imej ke bentuk teks, meramal rupa manusia dalam bentuk jantina yang berlainan; seperti filter Snapchat.
Kualiti deep fake juga semakin maju yang menjadikan ketulenannya lebih sukar untuk dikesan.

Antara orang ternama yang menjadi mangsa teknologi deep fake ini termasuk Donald Trump, Scarlett Johansson dan Mark Zuckerberg.
Pada sudut lain, agensi berita televisyen di China sudah pun menggunakan pembaca berita AI.
Bagi suara pula, para pengkaji deep fake berjaya membina algoritma yang mampu belajar suara, intonasi dan gaya percakapan seseorang daripada klip suara sahaja.
Salah satu cara lain pula, seseorang akan dijadikan rujukan oleh sebuah mesin pintar untuk ditiru agar terhasil sebuah video klip yang realisitik.

Ada juga teknologi untuk mengesan deep fake
Kecanggihan teknologi deep fake membuatkan pengkaji mencari kaedah lain yang dinamakan soft biometric sebagai salah satu cara mengesan wajah sebenar dengan wajah yang dipalsukan.
Kelebihan soft biometric ini boleh membezakan ciri-ciri unik antara manusia A dan manusia B. Ciri-ciri unik inilah yang GANs sukar untuk tiru dan deep fake boleh dikesan.
Disebalik teknologi canggih ini, ia membawa kita lebih banyak cabaran yang kita tidak ketahui sebelum ini.
Sumber: Orang Kata, Malaysia Kini
Trending now



