Sebab Van Jenazah Lampu Siren Kecemasan

Van Jenazah Guna Lampu Kecemasan Ketika Jalan Sesak Dipersoal, Ini Penjelasan Wakil NGO Dari Sudut Teknikal

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Rasanya kebanyakan pengguna kenderaan mengetahui kenderaan kecemasan seperti ambulans, trak bomba dan kereta polis menggunakan siren dan lampu beacon yang terpasang di bahagian atas kenderaan.

Pengguna jalan raya perlulah memberi laluan apabila melihat kenderaan-kenderaan ini membunyikan siren dan menyalakan lampu beacon walaupun ketika itu sedang berhadapan kesesakan lalu lintas.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu pertanyaan berkaitan van jenazah sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Kenapa van jenazah nak guna lampu kecemasan tengah-tengah traffic jam ni? Dah jadi jenazah dah kan?” tulis seorang wanita menerusi satu ciapan di laman Twitter.

Persoalannya itu bagaimanapun membuatkan orang ramai panas hati dan rata-ratanya mengecam tindakannya seolah-olah tidak sensitif terhadap orang yang telah meninggal dunia.

Dalam pada ramai memarahi wanita tersebut yang mencetuskan kekecohan, tampil wakil badan bukan kerajaan (NGO) pengurusan jenazah, JNZA Gaung Global yang lebih dikenali sebagai Mat Yoe memberi penjelasan dari sudut teknikal penggunaan lampu siren pada van jenazah.

Menurut Mat Yoe, sebagai umat Islam kita perlu fahami menguruskan jenazah merupakan fardu kifayah.

Pengurusannya perlu disegerakan kerana Rasulullah SAW bersabda, “Janganlah kamu tangguhkan pengurusan jenazah apabila tiba kematian” Riwayat Ibnu Majah.

Selain faktor agama, Mat Yoe menyenaraikan beberapa sebab kenapa kenderaan jenazah menggunakan siren dan lampu beacon.

“Faktor paling utama dua benda tu dipasang adalah supaya pengguna jalan raya yang lain sedar kehadiran kami di jalan raya tersebut dan segera memberikan laluan.”

Sebab Van Jenazah Lampu Siren Kecemasan

Ini adalah sebab kenapa kita mesti menyegerakan pengebumian dari sudut teknikal pula.

1. Masa

Pengurusan jenazah sangat berkait rapat dengan masa. Dalam pengurusan jenazah, lewat 10 minit sudah dikira sangat lama. Setiap masa ditentukan oleh waris dan juga pasukan pengurusan jenazah biasanya akan ditetap dengan setepat-tepatnya.

2. Pemandu kenderaan jenazah

Dalam sehari, bukan satu jenazah saja perlu diuruskan. Macam aku sendiri, aku pernah urus 8 jenazah dalam masa 24 jam.

Bermula 8 pagi dan berakhir 6 pagi keesokkan harinya. Perjalanan dari hospital ke tanah perkuburan pula agak jauh.

Pergi dan balik memakan masa 3 jam jika langsung tidak berhenti. Macam aku, jika ada jenazah di dalam kenderaan aku cuma akan berhenti untuk isi minyak dan juga solat sahaja.

Selebihnya aku akan buat apabila selesai hantar jenazah. Kami pemandu van jenazah adalah manusia biasa yang memerlukan rehat serta makan dan juga minum selepas selesai tugasan.

3. Keadaan jenazah

Jenazah biasanya mampu bertahan di persekitaran luar dalam masa kurang 8 jam selepas meninggal dunia. Jenazah dalam peti di bilik forensik boleh bertahan lama memandangkan suhu yang sejuk di dalam peti.

Selepas 8 jam jenazah berada di luar biasanya badan jenazah akan sedikit lebam dan juga mula mengeluarkan sedikit bau. Kadang kala cairan badan juga akan mula keluar dari mulut dan juga hidung.

Jenazah kemalangan atau jenazah yang mempunyai luka besar cuma mampu bertahan di persekitaran luar lebih kurang 4 jam sahaja. Jenazah seperti ini akan mula membusuk apabila lebih dari 4 jam.

4. Perkara luar jangka

Kadang kala kenderaan jenazah mengalami kerosakkan ketika dalam perjalanan. Jika hal ini berlaku, kenderaan jenazah gantian perlu segera memberi bantuan.

Kita perlu berusaha sedaya upaya supaya waktu yang dijanjikan dengan waris dapat ditepati dan jika terlewat sekalipun, tidak terlalu lama.

5. Keadaan kubur

Muka bentuk bumi ada banyak. Ada tanah pasir, ada tanah gambut, ada tanah bukit, ada tanah selut.

Kubur jenis berpasir dan berair jika di gali awal biasanya akan mudah runtuh. Jika runtuh, proses pengkebumian akan tergendala.

Kadang kala kubur akan digali menggunakan backhoe apabila jenazah tiba di tanah perkuburan dan akan segera dikebumikan. Tanah runtuh boleh membahayakan nyawa orang yang menguruskan pengkebumian tersebut.

Kalau jenazah lambat sampai, nak biar tukang urus kubur berkampung kat kubur?

6. Permintaan waris

Dalam pengurusan jenazah ini berkaita dengan ramai pihak. Apabila berkait dengan ramai orang, tidak baik jika kita mencuri atau melengah-lengahkan masa orang lain.

Ada kalanya waris ingin menyegerakan pengebumian. Dalam keadaan begitu, memang perlu pantas dalam segala hal.

Justeru, orang ramai dinasihati jika terjumpa van jenazah yang hidupkan lampu beacon atau pasang siren, berilah laluan kepada mereka.

Sumber: Mat Yoe