Usia 22 Tahun Sudah Miliki Kebun Sayur, Gaji Enam Pekerja

Usia 22 Tahun Miliki Kebun Gaji Pekerja
Sumber: BH

Usianya baru 22 tahun, namun Azmani Nurdin yang merupakan Orang Asli suku Temuan boleh berbangga kerana berkeupayaan menggaji enam pekerja di kebun sayur miliknya di RPS Sungai Bilut, Raub, Pahang, yang diusahakan sejak tiga tahun lepas.

Memetik laporan media tempatan, Azmani berkata, kebun yang dilakukan dengan kaedah sistem fertigasi itu melibatkan timun, cili, terung dan petola yang ditanam secara giliran bagi memastikan kesuburan tanah terus kekal, sekali gus menjamin kualiti hasil tanaman.

Kebun seluas lebih 0.4 hektar itu mula diusahakannya seawal usia 19 tahun dan imbas Azmani, beliau terpaksa menebalkan muka memohon bantuan daripada pelbagai agensi selain meminjam daripada keluarga dan rakan untuk dijadikan modal permulaan.

“Ramai yang ragu-ragu dengan niat, kebolehan dan kesungguhan saya untuk memulakan projek ini. Usia yang muda mungkin menyebabkan ramai tidak percaya saya boleh pergi jauh…tambahan pula, saya tidak ada pengalaman.

“Saya hanya menoreh getah selepas tamat tingkatan lima dengan upah RM70 seminggu. Selepas itu, saya ke Pulau Pinang untuk belajar dalam bidang kemahiran. Jadi, tidak dinafikan saya kosong dalam pertanian,” katanya.

Didorong sokongan ibu bapa

Bercerita lanjut, anak kedua daripada lima beradik itu mengakui bersyukur dengan sokongan ibu bapanya, Nurdin Ayob, 54, dan Rohani Jo, 45, yang membenarkan dia membuka tanah milik ibunya, selepas mereka berulang kali bertanya jika beliau benar-benar yakin boleh melakukannya.

“Tanah masih semak semasa saya baru membukanya. Semasa itu, saya terpaksa memekakkan telinga apabila ada yang bergurau menunjuk ke arah semak dan bertanya jika itu adalah sayur yang saya tanam.

“Selepas hasil pertama masih ada yang tidak yakin saya boleh meneruskan kerjaya sebagai petani. Tapi, alhamdulillah berkat usaha dan sokongan semua, mereka kini sudah nampak bidang pertanian boleh mendatangkan pendapatan,” katanya.

Alami kerugian hampir RM40,000

Seperti petani lain, Azmani berkata, dirinya juga pernah diuji apabila tanaman cili yang diusahakan pada hujung tahun 2017 diserang penyakit sehingga mengalami kerugian hampir RM40,000 menyebabkan beliau ‘terduduk’ kerana bimbang bagaimana hendak membayar gaji pekerja.

Enggan mengalah, Azmani mengumpul pekerjanya untuk menerangkan situasi sebenar dan atas semangat berpasukan, mereka bangkit semula dengan menanam tanaman baharu bagi mendapatkan semula modal pusingan.

“Saya bersyukur kerana hasil tanaman boleh memberikan kehidupan yang lebih selesa kepada keluarga. Jika dahulu ada masanya kami terpaksa makan ubi kayu, namun kini setiap hari kami boleh menjamah nasi.

“Saya sering mengingatkan diri supaya tidak lupa dengan kesusahan dahulu. Ada masa kami menjamu keluarga pekerja dan rakan-rakan selain turut bersedekah hasil sayur kepada mereka yang memerlukan sebagai berkongsi rezeki,” katanya.

Kata Azmani, dia berharap masyarakat Orang Asli dapat mengambil peluang yang disediakan kerajaan untuk berjaya sama seperti kaum lain.

Usia 22 Tahun Miliki Kebun Gaji Pekerja
Sumber: Berita Harian

“Kita seharusnya mengubah nasib sendiri. Jika diberikan seribu bantuan sekalipun, ia tidak akan ke mana jika bukan kita yang berusaha.

“Kita juga tidak boleh mempunyai sikap senang berpuas hati. Walaupun kebun boleh dikatakan dapat memberi gaji, saya sudah merancang mahu menyewa tanah pak cik yang bersebelahan untuk diusahakan pada bulan hadapan,” katanya.

Azmani telah menyambung pelajaran di Institut Pertanian Lipis bermula awal tahun ini bagi menambah ilmu dalam bidang pertanian dengan berulang-alik dengan menaiki bas pada setiap hujung minggu untuk ke kebun sebelum pengajian ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.

Sumber: Bernama

BACA: Mahasiswi Ini Raih Pendapatan RM100,000 Sebulan Dengan Jual Perabot Terpakai