
“Urine Pasti Clear” – Cecair Vape Khayal Kini Dijual Secara Bebas Dalam Talian
Laman sosial seperti Facebook, Instagram serta aplikasi media sosial Telegram kini telah dijadikan sebagai platform perniagaan cecair rokok elektronik (vape) yang mengandungi dadah.
Menurut laporan Utusan Malaysia yang menjalankan siasatan dan penyamaran, produk tersebut kini dijual secara terang-terangan dengan harga RM160 untuk satu botol bagi 10 mililiter.
Sekiranya dibeli dalam kuantiti yang banyak misalnya dalam 10 botol, harganya akan menjadi lebih murah iaitu pada jumlah RM1,200 sahaja.
Hasil siasatan mendapati, penjual mendakwa cecair vape itu mengandungi cannabidiol (CBD) iaitu antara kandungan bahan aktif yang boleh ditemukan dalam kanabis.
Dari gambar yang dikirimkan, dinyatakan juga tentang label atau jenama tertentu yang mempunyai kesan yang berbeza atau lebih kuat dari segi rasa khayal berbanding dengan jenama lain.
“Ini CBD boss, urine pasti clear. Ini (cecair vape) mestilah stim (khayal) boss, kalau tidak stim pelanggan tetap takkan beli semula. Jenama paling khayal adalah Godzilla dan Paris,” jelas jurujual tersebut ketika dihubungi.
“Ini original (asli THC) boss. Saya berani jamin, kalau tidak percaya boss cuba beli, urine test lepas itu tengok. Pasti takkan sangkut,” dakwa seorang lagi penjual yang memberi jaminan cecair vape yang dijual olehnya mengandungi tetrahydrocannabinol (THC) iaitu bahan psikoaktif yang memberi kesan halusinasi sama seperti pengambilan kanabis.
Penghantaran pula boleh dibuat menggunakan perkhidmatan kurier iaitu di kawasan Semenanjung akan dicaj RM10, manakala bagi Sabah dan Sarawak pula dikenakan RM20.
Servis penghantaran turut disediakan dari jam 10 pagi hingga 11 malam manakala ‘self pick-up’ pula boleh dibuat di sekitar Kuala Lumpur.
Amat merisaukan kerana golongan belia khususnya pelajar sekolah menengah juga berpotensi untuk menjadi pelanggan mereka kerana para penjual yang dihubungi tersebut tidak langsung bertanyakan tentang umur si pemanggil.
Lebih merisaukan kerana cecair vape ini berbentuk cecair biasa dan penggunanya tanpa segan silu boleh menghisapnya di kawasan umum kerana bau asapnya seakan-akan seperti perisa buah-buahan.
Seorang penjual barangan vape yang hanya ingin dikenali sebagai Hassan berkata cecair yang mengandungi bahan terlarang tersebut sememangnya ada dijual.
“Ini saya pernah tengok, memang dah ada bukti bahawa ia adalah dadah dan ada juga kena rampas. Perisa ganja pun ada,” jelasnya sambil mengesahkan gambar cecair berkenaan.
Seorang penjual barangan vape di Seri Kembangan ketika dihubungi akhbar Utusan Malaysia berkata, cecair vape yang dijual di laman media sosial tersebut sebenarnya adalah barang larangan kerana mengandungi THC dan sepatutnya tidak boleh dijual di mana-mana kedai atau secara persendirian.
BACA: Lebih Ramai Golongan Wanita Di Malaysia Kini Gemar Hisap Vape
Sumber: Utusan Malaysia