Upah Tetamu Palsu Trend Majlis Kahwin Korea Selatan

Upah Tetamu Palsu Datang Majlis Kahwin Demi Menunjuk Status Trend Popular Di Korea Selatan

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Upah Tetamu Palsu Datang Majlis Kahwin Trend Popular Di Korea Selatan.

Bagi masyarakat Melayu sesuatu perkahwinan akan dianggap tidak lengkap jika adat resam diketepikan.

Berpegang teguh kepada adat resam ada kalanya telah membawa kepada peningkatan kos keseluruhan majlis perkahwinan.

Namun, satu kelegaan ketika ini kerana dapat menjimatkan kos perbelanjaan perkahwinan sejak negara dilanda pandemik COVID-19 yang kini telah menjadi trend bagi pasangan yang bakal berkahwin.

Tetapi berbeza pula di Korea Selatan yang mana mereka lebih mementingkan kemeriahan majlis perkahwinan dengan kehadiran tetamu yang ramai sehingga wujudnya budaya mengupah tetamu jemputan palsu.

Menurut laporan Daily Star, trend ‘memalsukan’ tetamu majlis perkahwinan kembali mendapat sambutan di sana ketika kerajaan negara itu mengumumkan pelonggaran sekatan COVID-19.

Menurut budaya masyarakat negara itu, taraf populariti pengantin dan keluarganya dalam mata masyarakat dilihat dengan jumlah tetamu yang ramai ketika majlis perkahwinan.

Justeru, trend untuk menjemput tetamu jemputan palsu ini semakin meluas sehingga ada agensi-agensi tetamu perkahwinan yang menyediakan perkhidmatan ini.

Agensi-agensi tersebut menawarkan perkhidmatan mencari individu dengan ‘watak’ yang diinginkan pengantin untuk menyamar sebagai tetamu menghadiri sesebuah majlis perkahwinan.

Ada juga yang menawarkan ibu bapa palsu atau saudara jauh jika acara memerlukannya. Tetamu palsu tersebut turut dibayar untuk hadir ke majlis kahwin tersebut.

“Kami menerima kira-kira dua kali ganda panggilan telefon daripada pelanggan yang mencari tetamu palsu sejak kerajaan mengumumkan pelonggaran perintah berkurung pada 15 Oktober lalu,” kata seorang pengendali agensi.

Upah Tetamu Palsu Trend Majlis Kahwin Korea Selatan
Sumber: Business Insider

Mengupah tetamu jemputan palsu merupakan tradisi lama diamalkan dalam budaya perkahwinan Korea Selatan sejak awal 2000-an.

Faktor utama pengantin mencari tetamu palsu kerana mereka tidak mempunyai ramai kenalan dan majoritinya tidak mahu kehadiran kenalan bergosip mengenai hubungan peribadi mereka.

Lazimnya, mereka yang menjadi tetamu jemputan palsu ini dikehendaki menghafal maklumat peribadi pelanggan (pengantin) mereka termasuklah nama, umur, kerjaya dan hubungan keluarga.

Apabila tiba di majlis perkahwinan, mereka perlu bersorak dan mengagumi pakaian pengantin perempuan. Bagaimanapun, tetamu palsu ini tidak perlu menyertai sesi bergambar agar tidak diabadikan dalam album perkahwinan pasangan pengantin.

Sumber: Daily Star, Korea Times