
Upacara Pengebumian Dikawal Ketat Bukti Hebatnya Aura Morsi, Hingga Jenazahnya Ditakuti
Berita kematian mantan Presiden Mesir, Mohammed Morsi, 67 tahun semasa perbicaraan berlangsung di mahkamah 17 Jun lalu telah menimbulkan rasa sedih dalam kalangan masyarakat Muslim.
Beliau yang merupakan tokoh tertinggi dalam Ikhwanul Muslimin telah digulingkan oleh tentera pada tahun 2013 ditahan atas tuduhan pengintipan.
BACA: Mantan Presiden Mesir, Morsi Meninggal Dunia Ketika Perbicaraan
Jenazah yang dikebumikan pada 18 Jun dilakukan dalam upacara yang dikawal ketat dan hanya dihadiri oleh isteri dan dua anak lelakinya.
Beberapa jam selepas kematian Morsi diumumkan, Ahmed Moussa, seorang pembaca berita pro-kerajaan menyerang arwah dengan gelaran pengganas dan pengintip selain daripada mengeluarkan amaran kepada penyokong Morsi,
“Sesiapa yang mempunyai hasrat untuk menguburkan negara ini, kami akan menguburkan anda terlebih dahulu.”
Bukan itu sahaja, wartawan turut dihalang daripada menghadiri dan membuat liputan berkenaan dengan upacara pengebumian mantan presiden.
Walaupun sudah menemui Yang Maha Pencipta, jenazah Morsi masih ditakuti oleh penentangnya; gusar akan kemungkinan rusuhan bakal berlaku menjadikan kedai kopi di pusat bandar Kaherah terpaksa ditutup atas arahan rasmi.
Permintaan keluarga Morsi untuk mengebumikan jenazah beliau di kampung halamannya di Delta Nil turut ditolak pihak berkuasa. Sebaliknya mereka menetapkan bahawa upacara pengebumian akan dilakukan di timur Kaherah pada jam 5 pagi.
Morsi semasa hidupnya tidak pernah terfikir akan terjun dalam bidang politik. Lahir pada 20 Ogos 1951, beliau berkahwin dengan sepupunya, Naglaa dan dikurniakan dengan lima orang cahaya mata.
Mengikut jejak Morsi dan isterinya, kelima-lima orang anaknya merupakan seorang hafiz dan hafizah.
Membesar dalam keluarga petani yang mementingkan ajaran agama, Morsi mempunyai kelulusan dalam bidang Kejuruteraan pada 1970 di Universiti Kaherah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metarlogi di universiti sama pada 1978.
Kemudiannya beliau mendapat gelaran Doktor Falsafah di Universiti Southern California pada 1982 dan dilantik sebagai pensyarah di sana sebelum menjadi pembantu profesor di Universiti California-North Ridge.
Pada tahun 1985 hingga 2000, beliau pulang ke Mesir dan dilantik sebagai profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq dan terpilih sebagai presiden Mesir selepas usahawan, Khairat al-Shater dilucutkan sebagai calon presiden.
Morsi tampil sebagai wakil orang awam untuk menggantikan Presiden Hosni Mubarak selepas dipaksa berundur melalui pemberontakan rakyat pada Februari 2011.
Beliau dipilih secara demokratik dalam pilihan raya umum pada Jun 2012 dengan kemenangan undian sebanyak 51.7%.
Pada awal kemenangannya, Morsi menjanjikan agenda Islamis moderat untuk membawa Mesir menuju era demokrasi baharu, yang mana pemerintahan autokrasi digantikan dengan pemerintahan lebih telus dan menghormati hak asasi manusia.
Namun sebaik sahaja memerintah demokrasi, Morsi dituduh sebagai pemerintah seperti Firaun dan digulingkan tentera di bawah pimpinan Abdel Fattah al-Sisi.
Walaupun pernah diberitahu mengenai kemungkinan Abdel Fattah al-Sisi yang beliau lantik sebagai menteri pertahanan ketika itu akan mengkhianati pemerintahannya, Morsi tetap tidak mengendahkannya dan masih mempercayai al-Sisi.
Dihukum penjara 45 tahun dengan tuduhan menjadi pengintip Qatar dan Iran selain daripada menghasut kekerasan, Morsi pernah ditahan dalam kurungan dalam tempoh yang panjang dan hanya dibenarkan tiga lawatan keluarga dalam masa enam tahun.
Bukan itu sahaja, menurut peguam Morsi, ubat-ubatan yang amat beliau perlukan turut dinafikan bagi merawat penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan hati sehingga menyebabkan kumpulan hak asasi manusia dan pejabat hak asasi manusia PBB bangkit menyuarakannya.
Bedah siasat turut tidak dijalankan ke atas jenazah Morsi, walaupun pada awalnya kerajaan Mesir menjanjikannya. Watch Human Rights yang berpangkalan di New York turut menerima tuduhan daripada Perkhidmatan Maklumat Negeri Mesir bahawa sengaja menyebarkan kebohongan tentang keadaan penahanan Morsi dan mengeksploitasi kematiannya.
Dalam satu sebaran audio suara pada tahun 2017, Morsi memberitahu bahawa beliau tidak tahu di mana beliau berada; besi di belakang besi, kaca di belakang kaca dan refleksi imejnya menyebabkan beliau merasa pening.
Hebatnya aura seorang pemimpin yang bergelar Morsi ini, sehingga di saat sudah dicabut nyawa pun masih ditakuti oleh penentangnya.
Sumber: The New York Times, MStar
Trending now



