Foto Mukramah Mohamad

Universiti Khas Untuk Perempuan Macam Hotel 5 Bintang, Lihat Syarat Kelayakan Dan Cara Memohon Untuk Pelajar Malaysia

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Bagi mereka yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, ini ada satu lagi pilihan terbaik untuk anda pertimbangkan.

Universiti yang dimaksudkan ialah Princess Noura University yang terletak di Riyadh, Arab Saudi.

Kalau nak tahu, inilah universiti terbesar di dunia yang dikhaskan untuk perempuan sahaja.

Ya, untuk perempuan sahaja. Golongan ‘lembut’ dan yang pernah tukar jantina pun tak boleh!

Melalui gambar-gambar yang dikongsikan oleh Mukramah Mohamad di Facebooknya, memang universiti ini nampak macam istana raja dan hotel 5 bintang.

Beliau yang juga merupakan seorang pelajar di universiti tersebut sejak 2021 turut membuat perkongsian mengenai pengalaman dan kehidupannya di sana.

Khabarnya kini, syarat-syarat kemasukan juga telah dilonggarkan. Yang berminat nak memohon, jom ikuti perkongsian Mukramah Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Kak Qomah berikut.

Tangkap layar dari Facebook Mukramah Mohamad
– Tangkap layar dari Facebook Mukramah Mohamad

Sepanjang saya belajar di Princess Noura University, saya selalu dapat soalan-soalan begini.

Kak Qomah macam mana Kak Qomah boleh belajar Princess Noura?

Macam mana cara mohon untuk masuk Princess Noura ni?

Betul ke Princess Noura ni universiti perempuan saja?

Saya berminat nak mohon Princess Noura macam mana caranya ya, kak?

 

Jika anda mempunyai pertanyaan yang sama, penulisan, soal jawab dan perkongsian ini adalah untuk anda!

Sebelum kita bercerita tentang permohonan, meehh Kak Qomah ceritakan dulu tentang apa yang ada dekat Noura @ PNU.

Yaaa! PNU ialah sebuah universiti untuk perempuan sahaja yang terbesar di dunia.

Keluasan dan kapasiti universiti ini boleh memuatkan 60 ribu orang pelajar dalam satu masa.

Fasiliti yang ada pula sungguh lengkap dan bertaraf 5 bintang.

Bayangkan bilik tidur pelajar sahaja seperti hotel atau bilik studio yang dilengkapi dengan dapur, peti sejuk, bilik mandi, tandas, televisyen, telefon, peti besi dan Internet.

Apatah lagi kemudahan-kemudahan lain yang ada di universiti.

Di universiti ini kami bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain dengan menggunakan “train”. Train akan sampai ke setiap stesen 1 minit hingga 3 minit sekali. Train ini akan bergerak tanpa henti dari jam 6 pagi hingga 6 petang ke setiap stesen.

Yang menariknya lagi ianya adalah PERCUMA untuk semua orang naik.

Kemudahan lain yang ada ialah sebuah pusat sukan yang mempunyai pelbagai kemudahan dan alatan sukan. Di dalamnya juga terdapat sebuah kolam renang bersaiz Olimpik.

Untuk menyertai pusat sukan ini, pelajar perlu membayar 250 Riyal untuk satu semester. Ataupun 400 Riyal untuk satu semester, bagi bayaran 400 Riyal ini ialah bagi pelajar yang menyertai sukan dengan bimbingan jurulatih.

Di PNU ni juga terdapat sebuah perpustakaan yang sangat besar. 6 tingkat semuanya.

Masuk lobi perpustakaan pun dah macam lobi hotel 5 bintang. Kalau pernah nampak gambar kubah besar dalam iklan atau poster PNU haaa itulah perpustakaannya. Berhampiran dengan pejabat atau pusat pentadbiran universiti.

 

2) Betul ke kalau belajar dekat PNU ni biasiswa penuh?

Yaa, betul.

Biasiswa di PNU merangkumi:

1) Duit poket 840 Riyal sebulan

2) Tempat tinggal

3) Yuran pengajian

4) Tiket balik setiap kali cuti musim panas (1 kali setahun)

5) Makanan asrama (1 kali sehari) akan diberikan dalam bentuk kupon makanan.

 

3) Berapa orang pelajar Malaysia ada dekat sana kak?

Ada 4 orang sahaja. 3 orang di peringkat Diploma, 1 orang di peringkat Degree.

Sebab untuk mohon ke PNU sebelum ni, memerlukan mahram.

Jadi, kebanyakan yang berminat untuk memohon tidak dapat memohon kerana tidak cukup syarat mempunyai mahram tersebut.

Tetapi, untuk permohonan tahun ini, syarat mahram telah dimansuhkan.

 

4) Course apa yang ada dekat sana?

Dekat PNU ini ada banyaakkkkk sangat course.

Ada Medic, Dentist, Farmasi, Engineering, Fesyen, Arts, Account dan macam-macam lagi lahhh. Adaaa banyakk sangat course.

Tetapi, pelajar biasiswa yang ingin menyambung Degree di sini hanya 2 kos sahaja yang diberikan tajaan iaitu:

Degree Bahasa Arab

Degree Pengajian Islam

Okey, Degree Pengajian Islam dekat sini bagi peringkat Degree dia tak ada Takhasus macam kita dekat Malaysia.

Contoh kalau dekat Malaysia kita ada:

Degree Dakwah dan Komunikasi, atau Degree Usuluddin dan Multimedia atau Degree Quran Qiraat. Yang tu dekat Malaysia…..

Tapiiii dekat sana tiada Takhasus begitu kecuali di peringkat Master sahaja.

Syarat untuk sambung Degree di sini ialah melalui Diploma Bahasa Arab untuk Penutur Selain Arab terlebih dahulu selama 1 tahun setengah atau 2 tahun.

Dan melepasi pointer yang ditetapkan iaitu CGPA 4.0 Keatas.

Haaaaaa jangan terkejut pulakk, dengar 4.0 keatas. Pointer penuh dekat sana ialah 5.0, jadi syarat minimum untuk sambung degree ialah 4.0 ke atas.

 

Dekat PNU ni ada pengiktirafan MQA tak?

Sebelum ni, syarat untuk memohon di PNU sangat susah untuk kita pelajar perempuan Malaysia. Kerana syaratnya memerlukan mahram.

Jadi, oleh sebab itu pelajar Malaysia di PNU sangat sedikit.

Dan oleh kerana itu juga PNU ini masih belum diiktiraf oleh MQA kerana tidak pernah ada pelajar Malaysia yang grad lagi dari PNU. Dan permohonan pengiktirafan tidak pernah dibuat pun lagi sebelum ini.

 

Lecturer dekat PNU semua perempuan ke?

Oleh kerana ini merupakan sebuah universiti untuk perempuan sahaja, semua kakitangan yang ada adalah perempuan. Bermula dari mak guard, cleaner, technician, lecturer, warden dan lain-lain semua perempuan.

Namun, tetap ada pejabat pentadbiran lelaki dan beberapa tempat yang ada lelaki. Tapi, mereka tidak dibenarkan masuk ke kawasan perempuan. Jika masuk, mesti dengan iringan pengawal dan akan dimaklumkan awal.

Pernah sekali lampu bilik saya problem. Maghrib buat report Isyak dah sampai technicians yang datang baiki. Dann mestilah perempuan! Hebbatt bukan!

 

Betul ke dekat PNU pergi kelas tak pakai tudung?

Betul.

Seperti yang saya bagitahu tadi, semua pekerja adalah perempuan.

Jadi, di dalam kawasan universiti untuk kawasan perempuan tidak perlu pakai tudung.

Dan di dalam kelas ketika belajar juga, tak pakai tudung. Mungkin agak janggal bagi kita.

Satu perkara yang saya belajar tentang mereka ini ialah, bagi mereka kalau kita pakai tudung ketika berada di kalangan wanita sahaja. Itu tandanya kita tak selesa dengan mereka atau kita tak percaya dengan mereka.

Percaya atau tidak memakai tudung dan jubah di dalam kelas boleh dikira sebagai kesalahan disiplin yang mungkin boleh dikenakan tindakan.

Jadi, sepanjang berada di sana berhiaslah dan berdandanlah semahu kamu!

Tapi jangan pulakk dah balik Malaysia lupa nak pakai tudung, tamporr kangg Hahaha. Ghisauu kadang-kadang.

Dan disebabkan pelajar perempuan di dalam universiti tidak memakai tudung jadi, mengambil gambar di dalam kawasan universiti terutamanya gambar perempuan di sana adalah dilarang sama sekali.

 

Betul ke ada anak selebriti Malaysia yang belajar di sana?

Aduhhh ni soalan cepu emas nii.

Jawapannya, tidak ada

Setahu kami, yang datang baru-baru ni hanyalah membuat lawatan sahaja.

 

Bila Kak Qomah buat permohonan untuk masuk ke PNU?

Pada tahun 2019, dan diterima masuk pada tahun 2021.

3 tahun penantian yang tidak sedikit ujiannya.

 

Macam mana permohonan dibuat?

Melalui link yang diberikan oleh pihak universiti.

Untuk permohonan tahun ini, boleh rujuk di sini:

فتح باب القبول بجامعة الأميرة نورة

للتقديم على الدراسة بنظام المنح الخارجية لغير السعوديات المتقدمات من خارج المملكة للعام الجامعي 1444هـ

https://www.pnu.edu.sa/…/Anno…/Pages/nnouncement595.aspx

Admission is open to apply for study grants external system to non-Saudi for the academic year 1444 AH,

https://www.pnu.edu.sa/…/Pages/Announcement478.aspx…

Sila baca syarat dan maklumat yang ditetapkan dengan teliti.

Untuk tahun ni memang syarat mahram telah dimansuhkan tetapi telah ditambah syarat baru iaitu sijil SPM tak boleh lebih 5 tahun.

 

Apa nasihat Kak Qomah bagi yang nak memohon di sana?

Mohonlah! Kami di sini sangat memerlukan dan menggalakkan pelajar-pelajar perempuan Malaysia untuk memohon masuk ke PNU.

Tapi perlu diingat bahawa PNU masih belum mempunyai MQA. Jadi, selepas mendapat tempat di PNU menjadi tanggungjawab bersama untuk sama-sama membuat permohonan dan urusan agar PNU dapat diiktiraf di dalam MQA suatu hari nanti.

Kedua, setelah memohon jangan terlalu berharap untuk dapat masuk pada tahun yang sama. Kerana pengalaman Kak Qomah sendiri permohonan mengambil masa 1-3 tahun atau paling cepat mungkin 2 tahun.

Jadi sediakan planning A to Z. Kalau tak dapat PNU nak masuk universiti mana? Kalau tengah-tengah belajar dekat universiti lain baru dapat panggilan dari PNU macam mana? Sediakan planning anda sebaiknya.

 

Pengalaman Kak Qomah, proses untuk diterima masuk, Kak Qomah dapat 3 e-mel.

E-mel pertama: 2019

E-mel ni mengatakan permohonan telah diterima di peringkat universiti.

E-mel kedua: 2020

E-mel ni mengatakan permohonan telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Saudi.

E-mel Ketiga: 2021

E-mel ni mengatakan permohonan berjaya dan akan diberikan surat tawaran serta surat permohonan visa.

Dan yang ketiga rebutlah peluang untuk memohon, walaupun mungkin lebih banyak persaingan untuk memohon pada tahun ini kerana syarat dan dokumen yang diminta makin memudahkan pemohon.

 

Untuk maklumat lanjut tentang dokumen yang diperlukan boleh rujuk link yang disediakan di atas atau boleh juga merujuk di page Persatuan Pelajar Malaysia Riyadh.

Selamat memohon!
Semoga berjaya!

Mukramah Mohamad
Tanah Merah, Kelantan
Rabu | 23 Februari 2022
10.30 pagi

Foto Mukramah Mohamad
– Foto Mukramah Mohamad

BACA: Universiti Jepun Lancar Fakulti Anime Dan Manga, Kemasukan Pertama Pada April 2021

Sumber: Mukramah Mohamad