
UMK Cadang Tubuh Makmal Saka, Kaji Fenomena Makhluk Halus Secara Saintifik
UMK cadang tubuh makmal saka bagi mengkaji fenomena makhluk halus secara saintifik. Jika disebut tentang makhluk halus, ramai yang mempercayai tentang kewujudannya walaupun tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
BACA: Graduan UTM Paling Laris Dalam Pasaran Kerja, Jadi Pilihan Utama Majikan
Bagi mengesan kewujudan mahluk halus dalam kehidupan manusia dan membuktikan secara saintifik, tiga orang penyelidik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bercadang untuk menubuhkan makmal yang mengkaji mengenai perkara ini secara mendalam.
Cadangan ini timbul selepas melihat kejayaan penyelidikan dan kajian fenomena saka yang dibuat kira-kira dua tahun lalu terhadap 10 pesakit berusia antara 21 tahun hingga 80 tahun yang mendakwa dijaga saka berdasarkan pendekatan sosio-budaya, psikologi dan sains.

Para penyelidik yang disertai oleh Prof Madya Dr Yohan Kurniawan, Dr Alexander Stark dan Dr Burhan Che Daud itu berjaya mengenal pasti gangguan yang dihadapi pesakit dan membantu mereka mendapatkan rawatan awal melalui kaedah perubatan Islam.
Kewujudan saka berkenaan dikesan menerusi aura warna badan pesakit yang bertindak balas menggunakan parameter elektrik yang dinamakan sebagai Winaura.
Sekiranya pesakit mempunyai saka, auranya akan lebih banyak berwarna merah dan kebiasaanya pesakit akan berubah laku seperti bebola mata berwarna merah, tidak selesa, marah dan sebagainya.
Selepas itu, pesakit akan diberikan bacaan ruqyah, surah al-Fatihah, ayat Kursi, surah Yassin dan muzik ulik mayang sebagai rangsangan minda luar sedar pesakit.
Daripada itu, pesakit aka mengetahui sama ada sakit atau gangguan yang dialami berpunca sama ada daripada saka atau pun penyakit lain.
Situasi berkenaan berlaku dalam tempoh lebih kurang sesaat itu kemudiannya dicatat untuk kajian lanjut.

Antara penemuan mereka setakat ini, pesakit yang mendakwa diri mereka mempunyai saka ini bersifat kurang matang, mempunyai masalah hubungan dengan orang lain serta kurang kawalan emosi.
Malah mereka juga mempunyai perancangan untuk mengkaji kebolehan bomoh yang mampu merawat selain daripada mengkaji serangan histeria terhadap pesakit yang biasanya berlaku kepada golongan remaja.
Sumber: Harian Metro