Yesterday The Beatles 1

Ulasan Filem: ‘Yesterday’ Gamit Memori ‘Blues’ The Beatles

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Mengangkat karya-karya agung The Beatles, filem ‘Yesterday’ boleh dianggap berjaya membuatkan peminat kipas susah mati kumpulan rock dan pop, The Beatles membuka kembali lipatan memori mereka.

 BACA: Filem ‘Yesterday’, Kisah Tentang Dunia Yang Melupakan The Beatles

Filem ini mengisahkan mengenai seorang pemuzik, Jack (Himesh Patel) yang bergelut mencapai impiannya; menjadi pemuzik yang dikenali kerana bakat. Setelah menemui beberapa kegagalan – hanya menyanyi di pub dan khemah pesta tanpa crowd, Jack akhirnya berputus asa.

Menyampaikan hasrat mahu berhenti daripada menyanyi, Jack mengharapkan agar satu keajaiban berlaku dalam karier muziknya. Secara tiba-tiba, bekalan elektrik dunia terputus selama 12 saat dan menyebabkan Jack kemalangan dilanggar bas.

Merupakan titik perubahan kepada hidupnya, Jack bangun di hospital dengan keadaan kehilangan dua batang gigi hadapannya. Pulang ke rumah dengan disambut oleh rakan-rakannya, Jack diminta untuk menyanyikan sebuah lagu dengan menggunakan gitar baharunya, hadiah daripada Ellie (Lily James). Babak yang pada mulanya agak romantis, namun dimatikan dengan keadaan gigi Jack yang bolos dan menyebabkan nyanyian Jack seperti ‘berudara’.

Yesterday The Beatles

Memilih untuk menyanyikan lagu ‘Yesterday’ daripada kumpulan The Beatles, Jack keliru kerana ianya menyebabkan Ellie menangis dan menyangkakan bahawa dialah yang menulis lirik lagi tersebut. Yang menambah lagi rasa hairan Jack ialah apabila rakan-rakannya seolah tidak mengetahui siapa itu The Beatles.

Melakukan carian Google ‘The Beatles’, yang terpapar hanyalah imej-imej kumbang di dunia. Paparan babak ini pasti buat anda pecah perut kerana bukan ‘The Beatles’ sahaja yang ‘diGoogle’ Jack, tetapi beberapa carian lain, antaranya air minuman ‘Coca-Cola’ dan lagu ‘Sgt. Pepper’. Kesemua hasil carian yang keluar adalah berbeza dengan yang dicari.

Yakin bahawa ianya adalah satu keajaiban Tuhan untuk beliau memajukan kariernya, Jack kembali dengan misi mengingat kembali lirik lagu-lagu hits The Beatles untuk beliau persembahkan di pentas.

Bermula dengan dilamar individu yang mempunyai studio rekod indie, Jack akhirnya mencapai populariti yang beliau mahukan. Namun, beliau terhimpit dengan rasa bersalah pada ahli The Beatles kerana menciplak dan mengkreditkan 100% hasil mereka kepada beliau. Menipu pada skala global adalah sesuatu yang memang tidak beliau jangkakan; memenatkan dan merisaukan.

Seiring dengan peningkatan popularitinya, Jack kehilangan Ellie, rakan baik dan juga cinta hatinya. Jika anda bukanlah peminat aksi romantis, jangan risau elemen cinta dalam filem ini tidaklah terlalu sarat. Secara jujurnya babak romantis antara Jack dan Ellie digubah tanpa rasa yang cukup.

Oh ya, tidak lupa juga pada penipuan yang perlu Jack reka apabila ditanya mengenai mesej ‘lagu-lagu ciptaannya’. Ada juga babak di mana Jack tersepit dengan cadangan Ed Sheeran agar lirik lagu ‘Hey Jude’ ditukarkan kepada ‘Hey Dude’ dan cadangan kulit album di Abbey Road, laluan pejalan kaki melintas jalan (sinonim dengan The Beatles) digelakkan krew operasi pembikinan albumnya.

Ulasan Filem Yesterday

Jika diperhatikan secara teliti, watak pengurus Ed Sheeran iaitu Debra (Kate McKinnon) seakan menghantar mesej sulit kepada masyarakat iaitu pihak syarikat-syarikat rakaman di dunia ini kebanyakannya hanya menganggap artis mereka sebagai produk untuk menjana keuntungan.

Menggabungkan elemen kelakar ringan dalam filem ini, penonton pasti akan terhibur dengan selitan -selitan babak, dialog, aksi dan riak muka pelakon menjadikan tontonan anda tidak membosankan. Ditambah pula dengan penampilan khas daripada Ed Sheeran yang kelihatan ‘kayu’ dan bersahaja.

Walaupun hampir dua jam masa tayangan, penonton yang mengenali The Beatles dan lagu-lagunya pastinya tidak akan terasa bosan. Malah akan ada suatu rasa seperti filem ini sebenarnya tidak mencukupi.

Jika anda bukan peminat The Beatles dan tidak mengenali lagu-lagu mereka, apa kata tonton dan hayati dahulu lirik lagu seperti ‘Yesterday’, ‘The Long and Winding Road’, ‘Let It Be’ dan ‘Back In The USSR’ supaya penghayatan semasa menonton dapat dikuasakan sehingga ke tahap maksimum.

Rating: 8.5/10