ulasan filem the secret life of pets 2

Ulasan Filem: The Secret Life Of Pets 2

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Pernahkah anda tertanya-tanya apa haiwan kesayangan anda lakukan sebaik sahaja anda meninggalkan rumah untuk ke tempat kerja atau sekolah?

The Secret Life Of Pets 2 merupakan sekuel bagi filem komedi animasi pertamanya yang ditayangkan pada 2016. Jika filem sebelum ini mengisahkan seekor anjing setia dan disayangi tuannya yang bernama Max terganggu dengan kehadiran Duke kerana merasakan dirinya sahaja layak menjaga tuannya.

Pada kali ini, mengisahkan kehidupan baharu Max dan Duke selepas Kate berkahwin dan mendapat cahaya mata lelaki. Max dan Duke teruja dengan kehadiran anak lelaki Kate yang bernama Liam dan ingin menjaganya sebaik mungkin.

ulasan filem the secret life of pets 2

Dalam tempoh itu, Max memainkan peranan seperti ayah yang sangat protective dan tidak mahu Liam cedera dengan bahaya yang mendatang.

Cerita bermula apabila Max dan Duke ikut bercuti bersama keluarga Kate ke kampung. Max selama ini hidup di bandar berasa janggal dengan kehidupan di ladang.

Sepanjang berada di sana, Max berkenalan dengan anjing milik tuan rumah yang bernama Rooster. Rooster merasakan Max seekor anjing pengecut yang tidak berani menghadapi cabaran.

Pada suatu hari, seekor anak kambing biri-biri hilang di hutan akibat perbuatan Max. Rooster meminta Max mengikutnya masuk ke dalam hutan mencari anak kambing biri-biri itu.

Pada mulanya, Max tidak berani tetapi terpaksa juga masuk ke hutan. Mereka akhirnya menjumpai anak kambing biri-biri itu berdekatan dengan gaung. Rooster memberi cabaran kepada Max untuk bawa kembali anak kambing itu dengan selamat daripada terjatuh ke gaung.

Bayangkanlah Max seekor anjing bandar yang tidak pernah merasai suasana mencabar di kawasan hutan mestilah terkulat untuk melakukan cabaran itu. Dia cuba mengagahkan dirinya dan akhirnya dia berjaya menyelamat anak kambing setelah mengumpul keberanian.

Sementara itu, rakan-rakan Max yang juga jirannya menghadapi situasi yang lebih mencabar. Seekor anjing bernama Daisy datang meminta tolong Snowball untuk misi menyelamatkan anak harimau daripada menjadi haiwan sarkas.

ulasan filem the secret life of pets 2

Snowball, seekor arnab yang menganggap dirinya adiwira menyahut cabaran itu. Gidget pula menghadapi masalah apabila barang kesayangan Max yang diamanahkan kepadanya sementara ketiadaan Max tercicir di rumah yang dipenuhi kucing.

Gidget meminta pertolongan Chloe untuk mengajar bagaimana menjadi seekor kucing demi mengambil semula barang yang hilang itu sebelum Max pulang. Di sini, penonton dapat melihat perbezaan minat dan kecenderungan antara anjing dan kucing.

ulasan filem the secret life of pets 2

Filem ini membawa anda yang mana setiap daripada mereka menghadapi masalah dan perlu menyelesaikannya. Ia memang berbeza dengan filem sebelum ini yang mana cabaran yang mereka hadapi boleh dianggap tidak masuk akal tetapi masih menghiburkan penonton.

Pada babak akhir, Max akhirnya mengakui bahawa jika sesuatu masalah itu terjadi, perlu menghadapi dengan berani. Pada awal babak, Max seperti tidak mahu melepaskan Liam, tetapi akhirnya dia menerima hakikat bahawa Liam tidaklah menjadi seorang budak selamanya.

Bagi anda yang sudah menonton The Secret Life Of Pets yang pertama, memang berbaloi menonton sekuel kedua ini terutama bagi mereka yang memiliki haiwan peliharaan. Paling menarik, kredit akhir filem ini menunjukkan montaj klip keletah lucu haiwan peliharaan dengan tuan mereka.

Rating: 8/10