
Ulasan Filem: The Hustle
Filem: The Hustle
Pelakon: Anne Hathaway, Rebel Wilson, Aaron Neil, Alex Sharp, Celine Abrahams
Pengarah: Chris Addison
The Hustle merupakan sebuah filem remake yang dimodenkan daripada filem komedi Dirty Rotten Scoundrels pada tahun 1988. Sebuah kisah mengenai dua wanita ‘kaki penipu’ mencari lelaki kaya sebagai mangsa mereka; yang mana seorang amatur dan seorang lagi sudah profesional dalam ‘bidang’ itu dengan modus operandi yang berbeza.
Pada permulaan cerita menunjukkan adegan Lonnie (Rebel Wilson) menjalankan tugasnya untuk mengikis harta mangsanya di sebuah pub. Walaupun seorang amatur dalam ‘kerjanya’ itu, Lonnie tidak pernah tertangkap dengan segala helahnya. Karakter yang dilakonkan Wilson memang tidak pernah mengecewakan dengan aksi humor yang dilakukannya.
Lonnie kemudiannya bercadang untuk ke Perancis untuk meneruskan misi pisau cukurnya. Wataknya yang pandai bermain kata dengan rekaan kisah sadisnya, memang akan membuat mana-mana mangsanya percaya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk membantunya.
Adegan seterusnya menunjukkan Josephine lakonan Anne Hathaway berada dalam pusat kasino melakukan misi mengikisnya. Caranya berbeza dengan seorang pisau cukur amatur (lebih tertarik kepada wang) kerana dia hanya memfokuskan barangan bernilai yang dimiliki mana-mana mangsanya untuk diambil.
Lonnie bertembung dengan Josephine ketika dalam perjalanan ke Beaumont-sur-Mer dengan menaiki kereta api. Ketika itulah, Josephine berkenalan dengan Lonnie apabila melihat babak Penny menceritkan kisah pilunya kepada seorang lelaki kaya semata mahu lelaki itu membelanja makanan dalam kereta api mewah itu.
Perkenalan mereka semakin rancak apabila Josephine melihat Lonnie bersama seorang mafia dan berjaya mengikis harta mangsanya itu. Penipuannya diketahui dan dia ditahan. Lonnie buntu apabila tiada saudaranya yang tinggal di bandar asing itu dan tiba-tiba dia teringat Josephine dan meminta untuk diikat jamin.
Josephine yang mengetahui kerja penipuan Lonnie memintanya untuk balik dari bandarnya kerana akan menjejaskan ‘kerja’ Jospehine. Namun, Lonnie mahu Josephine mengajar modus operandi penipuan dan mahu hidup mewah sepertinya.
Maka, bermulalah babak Josephine menurunkan ilmunya kepada Lonnie dan melakukan misi mereka bersama-sama. Setelah berjaya beberapa misi, Lonnie tidak diberi upah dan dia mahukan haknya.

Ketika inilah mereka berdua mencabar antara satu sama lain siapa yang lebih hebat dalam bidang mereka itu. Mangsa mereka pada misi itu ialah jutawan muda Internet. Mereka berdua menjalankan misi dengan modus operandi masing-masing.
Pada babak akhir filem ini, pastilah ingin mengetahui siapa yang lebih hebat menjadi ‘kaki penipu’ tetapi sangkaan penulis meleset. Sebenarnya, mereka berdua yang menjadi mangsa dalam misi mereka sendiri.
Sepanjang filem ini, ada beberapa babak yang sedikit mendatar kerana lebih banyak interaksi berbanding aksi. Jika lebih banyak aksi, lebih-lebih lagi aksi itu dibuat Wilson pasti memberikan sedikit impak dalam cerita ini. Ceritanya mengingatkan kepada filem tempatan yang bertajuk Pisau Cukur (2009) lakonan Maya Karin dan Fazura dengan rencah yang berbeza.
Keseluruhan: 7.5/10
Walaupun Anne Hathaway sudah biasa melakonkan watak ‘gila-gila’ seperti dalam filem The Princess Diaries, tetapi dalam filem ini wataknya sedikit tenggelam namun lakonan Rebel Wilson dengan aksi dan mimik mukanya yang menarik membuatkan penonton tidak kering gusi sepanjang cerita ini. Apa pun, chemistry dua pelakon ini yang membawa watak ‘kaki penipu’ cukup menghiburkan.