
Ulasan Filem: The Addams Family
Anda rasa keluarga anda cukup pelik? Fikirkan sekali lagi.
The Addams Family merupakan sebuah filem reboot yang ditukarkan kepada filem animasi buat pertama kali, memaparkan kisah keluarga yang dianggap aneh dari pandangan masyarakat. Kali terakhir kemunculan kisah keluarga ‘seram’ ini di kaca televisyen adalah pada tahun 90-an melalui sitkom drama The New Addams Family.
Kali ini, diketengahkan dalam bentuk animasi memaparkan kisah keluarga Addams sedang dalam persiapan menyambut kedatangan saudara-mara mereka untuk upacara tradisi Marzuka tetapi dalam masa yang sama, mereka perlu berdepan dengan seorang pengacara rancangan realiti TV yang mahu menghalau keluarga ini.
Sedikit pengalaman, keluarga Addams tinggal di sebuah suaka yang dahulunya ia merupakan sebuah hospital sakit jiwa. Pasangan yang dianggap pelik, psiko dan menyeramkan, Gomez Addams dan Morticia Addams berpindah mencari penempatan baharu di New Jersey jauh daripada keluarga mereka dan masyarakat untuk memulakan kehidupan baharu.

Dari rumah itulah mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Wednesday dan Pugsley bersama seorang penjaga (bekas pesakit mental di situ). Kehidupan keluarga Addams tidak diganggu oleh sesiapa sehinggalah pada suatu hari ketika musim panas berlaku sesuatu diluar jangkaan kepada mereka.
Dahulu penempatan mereka dikelilingi paya, sudah dibangunkan menjadi sebuah bandar moden. Maka, ramailah orang datang menduduki di kawasan perumahan itu yang menyebabkan berlakunya ancaman kepada keluarga Addams.
Di samping ancaman yang diterima kerana keperibadian mereka dianggap aneh oleh masyarakat, Pugsley selaku anak lelaki keturunan Addams perlu menghadapi ujian bermain pedang untuk upacara tradisi keluarganya. Malangnya, Pugsley tidak berbakat dalam permainan pedang seperti ayahnya yang membuatkan dia sangat tertekan.

Anak perempuan mereka, Wednesday pula mahu keluar dari rumah mereka untuk melihat dunia luar yang selama ini dia tidak pernah kemana-mana sejak dilahirkan.

Menariknya tentang filem ini walaupun kisahnya bukanlah bergenre seram sebenar, ia mengajar kita untuk bersifat terbuka menerima perbezaan seseorang. Selain itu, ia turut memaparkan sifat persahabatan antara Wednesday dan Parker (anak pengacara rancangan realiti TV). Tambahan, sesuatu kehendak yang memaksakan seseorang itu pasti tidak akan berhasil seperti yang kita inginkan.
Bagaimana Pugsley menyelesaikan masalahnya bagi menghadapi tekanan yang diberikan? Bagaimana pula Wednesday menyesuaikan diri dengan dunia luar yang penuh warni-warni berbeza dengan keluarga mereka yang setiap masa serba gelap dan hitam?
Nak tahu lebih lanjut kenalah tonton filem animasi ini di pawagam berdekatan anda sekarang!
Rating: 8/10
Trending now



