
Ulasan Filem: ‘Sonic The Hedgehog’
Dijangka bakal menjadi filem pecah panggung hujung minggu ini, filem Sonic The Hedgehog kini sudah boleh ditonton di pawagam berdekatan anda. Baca ulasan filem ini.
BACA: Tonton Trailer Rasmi ‘Sonic The HedgeHog’
Diadaptasi daripada permainan video popular SEGA, filem CGI dan live-action ini berkisarkan mengenai seekor landak biru antropomorfik luar biasa yang melarikan diri daripada ditangkap oleh Dr Robotnik yang merancang untuk menguasai dunia.
Plot cerita dimulai dengan Sonic sewaktu kecil yang diburu oleh sekumpulan penjahat, namun diselamatkan oleh penjaganya, Longclaw, seekor burung hantu yang menghantarnya ke bumi menerusi ‘laluan’ cincin ajaib.
Di bumi, Sonic menyembunyikan kehadirannya daripada umum namun ada satu kejadian yang berlaku menyebabkan beliau diburu oleh Dr Robotnik yang mahukan kuasanya.
Mendapat bantuan daripada seorang anggota polis yang dikenali sebagai Raja Donut iaitu Tom (lakonan James Marsden), Sonic memulakan pengembaraannya bersama seorang manusia yang dipanggil teman.
Mendapat rating ulasan filem 64% daripada Rotten Tomatoes dan 7.1/10 daripada IMDb, filem Sonic The Hedgehog amat sesuai ditonton oleh golongan kanak-kanak, namun ini tidak bermakna ianya tidak boleh dinikmati oleh golongan dewasa.
Bergerak dalam tempo plot yang sederhana, ada beberapa aksi Sonic yang dilihat sedikit ‘keterlaluan’ terutamanya semasa menggunakan kebolehan ‘pembekuan masa’. Agak cliche namun itulah yang menghiburkan penonton.
Buat pengetahuan anda, filem Sonic sebenarnya dijadualkan untuk tayangan pada November 2019, namun disebabkan menerima banyak kritikan pada reka bentuk Sonic yang sangat jauh bezanya dengan Sonic di permainan video SEGA, pihak Paramount terpaksa menangguhkan tayangan untuk mereka semula watak Sonic.
Akan tetapi tahukah anda, studio yang bertanggungjawab mereka semula watak Sonic ini sudah ditutup pada Disember lalu berikutan daripada isu pencabulan hak asasi pekerja?
12 Disember lalu, industri reka bentuk antarabangsa digemparkan dengan berita bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam reka bentuk Sonic iaitu Moving Picture Company (MPC) bakal menutup operasi studio mereka di Vancouver, Kanada.
BACA: Studio MPC Tutup Operasi Selepas Projek Reka Bentuk Semula Imej Sonic
Sebelum tonton filem Sonic The Hedgehog ini, apa kata anda tonton dahulu trailernya di pautan bawah:
Rating: 8/10