
Ulasan Filem: Rocketman
Rocketman merupakan sebuah filem biografi yang memaparkan kehidupan jatuh bangun bintang pop legenda Britain pada era 70 dan 80-an iaitu Elton Hercules John.
Filem ini menyaksikan Taron Egerton membawa watak sebagai Elton John. Rocketman merupakan salah sebuah judul lagu yang dipilih daripada berpuluh album nyanyian Elton.
Seperti filem biografi sebelum ini, Rocketman memaparkan kehidupan Elton John atau nama sebenanrya Reginald Dwight yang sejak kecil lagi sudah meminati muzik sehingga menjadi seorang penyanyi terkenal. Minat mendalamnya terhadap muzik apabila mahir menggunakan alat muzik iaitu piano membawanya mengasah bakat di Royal Academy of Music.

Setiap pencapaian yang ada pada Elton John sebenarnya terselit kisah duka penyanyi legenda itu. Sejak kecil lagi, Elton menjalani kehidupan yang penuh konflik termasuk kurang kasih sayang daripada bapanya, kecurangan ibunya hingga membawa kepada penceraian.
Meningkat dewasa, Elton John memulakan kariernya sebagai penyanyi apabila bertemu dengan seorang penulis lirik iaitu Bernie Taupin yang kemudiannya menjadi rakan baik. Persembahan di Troubadour menjadi titik permulaan kepada Elton John mencipta nama sebagai penyanyi tersohor di seluruh dunia seterusnya menjadi jutawan termuda pada zaman itu.

Ketika itulah datangnya pengurus muzik bernama John Reid membantu Elton John mengembangkan lagi karier muziknya. Juga berlaku konflik antara mereka yang menyebabkan Elton menjadi seorang pemarah, kaki mabuk, penagih dadah dan mengamalkan seks bebas. Nak tahu apa konfliknya, kenalah tonton dan pasti anda terkejut jika sebelum ini anda kurang mengenali Elton John.
Prestasi lakonan Taron Egerton (pelakon filem Kingsman) dalam filem ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Bukan sekadar bergantung kepada solekan dan pakaian sahaja, Taron juga menjiwai lelaki bernama Elton John dengan cukup baik.
Selain itu, prestasi pelakon-pelakon lain seperti Bryce Dallas Howard, Jamie Bell dan Richard Madden juga tidak mengecewakan.
Jalan cerita dalam filem Rocketman disusun dengan baik, tidak membuat penonton berasa mengantuk kerana ada sahaja muzikal daripada lagu-lagu hit Elton John sepanjang filem ini. Menariknya, kesemua lagu yang diputarkan dalam filem ini sememangnya dinyanyikan sendiri Taron Egerton.

Pastinya apabila menonton filem Rocketman, akan terdetik mengenai filem Bohemian Rhapsody. Mampukah Rocketman akan mengecapi kejayaan filem Bohemian Rhapsody lakonan Rami Malek yang telah memenangi Academy Award?
Rocketman ditayangkan di Malaysia pada 25 Julai 2019.
Rating: 8.5/10