Ulasan filem Ready Or Not

Ulasan Filem: ‘Ready Or Not’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Genre: Seram, Misteri, Komedi Gelap, Rating R
Pengarah: Matt Bettinelli-Olpin & Tyler Gillett
Masa tayangan: 95 minit
Pelakon: Samara Weaving, Adam Brody, Mark O’Brien, Henry Czerny, Andie MacDowell.

Semua pasangan pengantin mengimpikan perkahwinan yang bahagia bukan sahaja sesama pasangan, malah untuk bersama dengan keluarga baharu. Kebiasaannya, pengantin perempuan yang akan lebih gementar apabila menyertai keluarga baharu. Ya, macam yang selalu kita lihat dalam drama TV3 yang mana pasti akan menunjukkan ragam keluarga mentua apabila menerima orang baharu.

Filem Ready or Not ini mengisahkan tentang seorang pengantin perempuan Grace (Samara Weaving) yang baru sahaja melayari bahtera perkahwinan bersama lelaki yang dicintainya, Alex Le Domas. Seperti pengantin yang lain, Grace juga pada mulanya gementar untuk menyertai keluarga baharunya memandangkan suaminya itu daripada keluarga berada dan Grace pula hanyalah seorang anak angkat dari keluarga biasa.

Ulasan filem Ready Or Not

Apabila menyertai keluarga baharu, pasti ada ahli keluarga yang tidak menyukai kehadiran orang baharu. Begitulah apa yang dirasai Grace terhadap ayah Alex dan mak cik Helene. Pada mulanya, hari terindah Grace berjalan seperti biasa sehinggalah pada malam pertamanya ‘diganggu’ keluarga Alex.

Alex memberitahu tradisi Le Domas akan meraikan kedatangan ahli keluarga baharu dengan bermain permainan kad tepat 12 tengah malam. Grace turuti sahaja acara itu walaupun dia berasa pelik dengan tradisi keluarga baharunya. Ya, walaupun zaman sudah moden, rupanya ada lagi keluarga yang masih kuat mengekalkan tradisi.

Ketika inilah, adegan cemas bermula apabila Grace disuruh untuk memilih kad untuk mengetahui permainan apakah yang akan dimain mereka pada tengah malam. Agak malang bagi Grace kerana dia mendapat kad ‘hide and seek’ yang mana telah mengubah keseluruhan watak dalam filem ini.

Ulasan filem Ready Or Not

Babak awal ini menarik perhatian Grace kerana dia belum mengetahui tentang niat sebenar keluarga Le Domas yang mana sebenarnya permainan sorok-sorok itu bukanlah seperti permainan biasa. Grace mula mengetahui tentang sisi gelap keluarga Le Domas apabila dia ternampak ipar duainya telah menembak orang gaji kerana menganggap itu adalah Grace.

Barulah Grace sedar bahawa dia terperangkap dalam permainan keluarga Le Domas yang mana dia diburu bertujuan untuk dipersembahkan kepada roh syaitan yang dikatakan menjadi punca dan sumber kepada kekayaan yang dimiliki oleh mereka. Unsur suspense mula merasai penonton apabila Grace perlu melarikan diri keluar daripada rumah agam itu.

Plot Ready or Not pada babak awal hingga akhir penceritaan ditulis dan disusun dengan baik serta menjadikannya sebuah cerita yang menarik dan mempunyai ciri tersendiri. Ketegangan yang dibawa dalam cerita ini boleh dikatakan menjadi dan memberi kesan kerana penonton akan betul-betul memberi fokus pada setiap babak dengan mengharapkan Grace terselamat daripada diburu keluarga Le Domas.

Ulasan filem Ready Or Not

Penonton dapat melihat setiap watak dalam filem ini membawa karakter berbeza dan menjadikan sebuah filem seimbang kerana masing-masing memberi impak yang sangat baik. Bukan semua keluarga Le Domas mempunyai ciri psiko kerana ada juga yang mahu keluar daripada tradisi aneh ini. Ada yang mempersoalkan adakah benar wujud keluarga yang berurusan dengan syaitan demi mengekalkan taraf hidup. Begitu juga dengan ahli keluarga yang mempercayai sumpahan ini benar berlaku jika mereka tidak dapat memburu seperti apa yang diperintahkan, mereka akan mati.

Ready or Not berjaya menyampaikan mesej menarik sama ada berdasarkan unsur kekeluargaan, sahabat, didikan anak-anak, kepercayaan antara pasangan dan juga kepercayaan ritual yang kita sangkakan tidak wujud dalam dunia moden ini. Rata-rata yang sudah menontonnya akan berkata pengakhiran cerita ini sedikit spoil, tetapi itulah menjadikan filem ini berbeza dengan filem misteri yang sedia ada.

Secara keseluruhannya, Ready or Not sebuah filem yang digarap dengan baik berserta plot cerita yang mudah difahami. Filem ini membawa penonton perasaan cemas, terhibur dan sedikit elemen sentimental. Latar muzik dalam filem ini juga menarik.

Rating: 8.5/10