
Ulasan Filem: Nobody
Moral daripada filem Nobody ini ialah kita dituntut supaya banyak bersabar. Banyak perkara buruk dapat dielakkan sekiranya kita bersabar dan menahan diri dari mengamuk dan mengikut nafsu amarah. Sekiranya seseorang itu tidak dapat menahan sabar, perkara buruk yang diketengahkan dalam filem Nobody ini ialah — ramai orang yang akan mati!
Satu peringatan yang sangat berguna di bulan Ramadan ini. Mungkin inilah mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh penulisnya Derek Kolstad yang bertanggungjawab membawa trilogi John Wick (2014-2019). Jika dalam filem John Wick, anjing yang menjadi punca, dalam Nobody pula, kucing yang menjadi bahan (lebih kurang) penyebab manusia hilang sabar.
Filem kedua arahan Ilya Naishuller ini memang amat berbeza dari filem sulungnya Hardcore Henry (2015). Pasti ramai yang masih ingat filem tersebut agak sukar untuk ditonton kerana beliau mencuba kelainan dengan membawa penonton dari sudut point of view seolah-olah penonton sedang bermain permainan video aksi first-person shooter. Hasilnya amat memenatkan dan tidak kurang juga ramai penonton yang menjadi mabuk akibat motion sickness.
Kali ini tidak lagi. Bintang utama Nobody juga bukan biasa-biasa. Selepas siri Breaking Bad (2009-2013) dan Better Call Saul (2015-2022), rekod cemerlang Bob Odenkirk terus menyinar dalam dunia lakonan dengan memegang watak Hutch Mansell. Turut dipuji ialah pelakon kelahiran Moscow, Aleksey Serebryakov yang memegang watak antagonis zalim dan menggerunkan.
Watak lakonan Connie Nielsen tidak berupaya mempengaruhi emosi penonton. Begitu juga dengan lakonan RZA yang seolah-olah sebagai watak tempelan sahaja serta tidak sehebat Common dalam John Wick: Chapter 2 (2017). Usah disebut langsung tentang pembaziran watak tidak penting seperti lakonan Michael Ironside. Begitu juga dengan Christopher Lloyd yang seolah-olah melatah “Great Scott!” setiap kali kamera dihalakan ke arahnya.
Nobody diterbitkan bersama oleh Tobey Maguire (Spider-Man!) yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Keseluruhan filem ini sememangnya amat menyeronokkan dan penonton pasti tidak rasa bosan atau menyesal. Cuma babak-babak di penghujung agak merepek dan melampau. Penonton yang gemar dengan aksi ala-ala Rambo: Last Blood (2019) atau Home Alone (1990) mungkin masih boleh bertoleransi dengannya. Yang masih belum puas, bolehlah cuba mencari filem-filem lama ‘seangkatan’ dengannya seperti A History of Violence (2005) lakonan Viggo Mortensen atau Unforgiven (1992) mahakarya agung Clint Eastwood.
Dibawakan oleh United International Pictures Malaysia, Nobody bakal menemui penonton pada Hari Raya Aidilfitri mulai 13 Mei. Namun, ianya masih lagi tertakluk kepada SOP kawasan setempat di bawah arahan PKP oleh kerajaan.
Rating: 7/10