
Ulasan Filem: Ma
Genre: Seram, Misteri, Suspen (Rating R)
Pengarah: Tate Taylor (The Help, Get On Up)
Penerbit: Jason Blum
Penulis skrip: Scotty Landes
Masa tayangan: 110 minit
Pelakon: Octovia Spencer, Juliette Lewis, Luke Evans, Diana Silvers, McKaley Miller, Missi Pyle, Corey Fogelmanis, Gianni Paolo, Dante Brown
Bermula dengan babak seorang gadis, Maggie Thompson (Diana Silvers) yang cuba menyesuaikan diri dengan suasana persekolahan baharu di tempat kelahiran ibunya, Ohio setelah ibu dan bapanya bercerai.
Di sana Maggie bertemu dan berkawan dengan sekumpulan pelajar yang terdiri daripada Andy Hawkins, Haley, Chaz dan Darrel yang menjemput Maggie untuk menyertai parti mereka; minum sampai mabuk.
Belum mencapai had umur untuk ‘minum’, mereka telah meminta bantuan orang dewasa untuk membelikan alkohol dan dari situlah permulaan pertemuan mereka dan Sue Ann (Octovia Spencer).
Melihat ini sebagai satu peluang untuk berkawan dengan orang muda, Sue Ann menjemput mereka ke rumahnya untuk berparti tanpa perlu risau ditangkap pihak berkuasa di atas kesalahan bawah umur.
Akan tetapi ada empat peraturan yang perlu mereka ikut semasa di rumah Ma, iaitu:
- Seorang daripada mereka tidak boleh mabuk.
- Tidak boleh mencarut.
- Jangan sesekali naik ke tingkat atas.
- Panggil beliau Ma.
Apabila kebaikan Ma mula bertukar kepada obsesi, Maggie dan rakan-rakannya mula terasa rimas. Episod demi episod mereka lalui menyebabkan rasa curiga kepada Ma semakin menebal dan membuat pilihan untuk menjauhkan diri daripada Ma. Tanpa mereka sangka, ianya membawa kepada mimpi yang lebih ngeri.
Secara keseluruhannya, cerita ini mungkin tidak akan mencapai jangkaan rasa yang anda letakkan selepas menonton trailernya. Bertemakan seram psikologi, perjalanan plot filem Ma ini agak lambat untuk mencapai kemuncak plotnya ceritanya.
BACA: ‘MA’: Sebuah Filem Seram Psikologi
Paparan imbas kembali zaman persekolahan Ma dengan babak dikecewakan rakan-rakan sebaya, ditipu serta dimalukan sepertinya tidak cukup untuk menjadi bukti penguat kepada perwatakan obsesi Ma terhadap kumpulan remaja itu.
Filem ini bagi kami agak kurang sesuai untuk tontonan remaja bawah 18 tahun kerana ada beberapa kandungan babak berunsurkan seksual, ganas serta penggunaan alkohol dan dadah dalam kalangan remaja sama ada daripada dialog atau perwatakan watak-watak di dalamnya, walaupun kami percaya ada beberapa babak yang sudah dipotong terlebih dahulu.
Beberapa kelemahan filem (lakonan kayu beberapa watak, jalan cerita yang agak lambat) ini seakannya telah ditutup dengan lakonan mantap daripada Octovia yang pernah memenangi Anugerah Oscar.
Riak wajah dan perlakuan Octovia sebagai Sue Ann sebenarnya sudah cukup untuk membuatkan bulu roma anda berdiri tegak dengan hanya penuturan dialog biasa, lirikan mata ataupun sekadar tersenyum sinis. Memang hebat sungguh aura beliau!
Daripada watak Sue Ann, dendam dan memori menjadi mangsa buli semasa zaman persekolahan menyebabkan beliau tidak mampu unuk berfikir dengan rasional sehinggakan sanggup membunuh dan melakukan cubaan bunuh.
Menonton filem ini akan membuatkan anda sedar, kesan menjadi mangsa buli dan dipinggirkan di zaman persekolahan sangatlah mengerikan sekiranya mangsa tidak mampu untuk mengendalikannya dengan baik.
Jadi tunggu apa lagi, tempah tiket tayangan filem Ma sekarang dan jangan lupa untuk kongsikan pandangan anda mengenai filem ini pula. Selamat menonton!
Rating: 7.5/10