
Ulasan Filem: John Wick: Chapter 3 – Parabellum, Penuh Aksi
Ramai yang tidak puas hati setelah kena ‘game’ dengan Keanu Reeves menerusi filem Siberia (2018) dulu. Penonton yang menjangkakannya sebagai sebuah lagi filem aksi hebat ala-ala John Wick telah tertipu, terpedaya, dihampakan dan dikecewakan dengan begitu kejam! Percubaan untuk menonton filem ini sehingga habis memang amat mengazabkan. Hanya mendapat ‘rating’ 11% di Rotten Tomatoes, Keanu Reeves seolah-olah sengaja ingin ‘troll’ dirinya sendiri. Watak beliau turut mempersenda secara simbolik dengan menembak seekor anjing sebagai ‘mesej istimewa’ buat John Wick.
“Tell them. Tell them all. Whoever comes, whoever it is… I’ll kill them. I’ll kill them all.”
(John Wick, Chapter 2)
Kata-kata penutup di atas pastinya membuatkan peminat tidak sabar-sabar menanti selama 2 tahun untuk sambungannya kan? Jangan risau. Seawal minit pertama, penonton sudah di’belanja’ dengan aksi-aksi tersangat ‘awesome’ yang merupakan sambungan terus-menerus dari babak akhir Chapter 2. Di segenap pelosok dan sudut kotaraya New York pasti ada yang ingin membunuh John Wick demi upah lumayan AS$14 juta. Menyaksikan beliau bertungkus-lumus untuk ‘kill them all’ amat mengasyikkan! Sukar rasanya untuk percaya yang semua ini bermula hanya disebabkan oleh seekor anak anjing.
Penonton seterusnya dihidangkan lagi dengan aksi tanpa henti. Walaupun amat ganas dan masih mengekalkan ‘R-rated’, filem ini kurang memaparkan imej ngeri dan berdarah jika hendak dibandingkan dengan filem-filem Iko Uwais misalnya yang terbaru: The Night Comes For Us (2018). Pertarungan dan pembunuhan yang ditonjolkan dalam filem-filem Indonesia ini terlalu ‘graphic’, amat sukar untuk ditonton, menyeksakan, menyakitkan, tidak berperikemanusiaan, amat zalim serta sungguh mengerikan. Terlalu ngeri sehingga penonton terpaksa melayan lagu-lagu Nissa Sabyan selama 2 jam tanpa henti bagi menenteramkan diri!
Berbanding dengan filem-filem Indonesia, kekuatan filem John Wick ini tidaklah bersandar kepada keganasan semata-mata. Sinematografi dan lokasi dalam filem ini sangat cantik. Formula yang sama masih dikekalkan dengan berkonsepkan ‘neo-noir’ Amerika. Lampu neon dan hujan yang membasahi kegelapan kotaraya New York menghasilkan ‘shot’ yang sangat menarik. Tetapi, Chapter 2 yang memaparkan bandaraya Rome jauh lebih cantik jika hendak dibandingkan dengan lokasi Casablanca dalam Chapter 3 kali ini. Babak yang memaparkan padang pasir juga terlalu singkat dan ringkas seolah-olah dipentaskan di dalam studio dengan bantuan teknologi ‘CGI’ sahaja.
Kekuatan utama filem ini sudah tentu terletak pada aksinya. Ternyata pengalaman pengarahnya iaitu Chad Stahelski sebagai ‘martial artist’ dan ‘stuntman’ yang pernah menggantikan mendiang Brandon Lee dalam The Crow (1994) serta sering bekerjasama dengan Yuen Woo Ping satu ketika dahulu banyak membuahkan hasil. Gerak tempur dikoreograf dengan sempurna dan memaparkan ‘angle’ dan aksi visual yang menarik. Tidak dapat dinafikan ‘chemistry’ beliau dengan Keanu Reeves yang terjalin sejak menjadi ‘stunt double’ filem The Matrix (1999) sekali lagi menjadi faktor kejayaan filem-filem John Wick ini.
“I once saw him kill 3 men in a bar… with a pencil. With a f***in’ pencil.”
(Viggo Tarasov, Chapter 1)
Kaedah membunuh yang baru serta lebih inovatif, kreatif dan lebih gila turut banyak dihasilkan. Antara yang menarik ialah main baling-baling pisau tajam termasuklah kapak. Jika sebelum ini, John Wick pernah menggunakan sebatang pensel dalam Chapter 2, saksikan pula bagaimana kali ini beliau menggunakan sebuah buku. Entah apa pula selepas ini? Mungkin pembaris? Atau pemadam? Sekali lagi penonton turut dihiburkan dengan keunikan seni gerak aksi pertempuran pantas menggunakan senjata yang sangat mengasyikkan dan jarang dipertontonkan di layar perak. Kali terakhir pun Christian Bale pernah menggunakan teknik yang seakan-akan sama yang digelar Gun Kata dalam filem ‘cult status’ Equilibrium (2002).
Selain dari terpaksa berhadapan dengan pasukan elit berpakaian sut ‘body armor’ lengkap, lawan John Wick yang lain kali ini juga lebih mencabar. Jika dulu mendiang Bruce Lee pernah menentang Kareem Abdul-Jabbar dalam Game of Death (1978); Tony Jaa dan Jet Li pula pernah bertarung dengan Nathan Jones yang berbadan jauh lebih besar dalam Tom Yum Goong (2005) dan Fearless (2006); kini giliran Keanu Reeves (6’1″/1.86m) pula menentang pemain bola keranjang profesional Boban Marjanovic (7’3″/2.21m). Seolah-olah menonton perlawanan bola sepak Liverpool membelasah Barcelona 4-0 baru-baru ini, suasana di dalam pawagam menjadi riuh-rendah dengan penonton yang bersorak dan bertepuk tangan. Memang satu pengalaman yang menakjubkan!
Menyentuh sedikit tentang lakonan, Keanu Reeves masih lagi tidak berubah dengan ekspresi muka ‘goofy’ yang sama sejak awal 90-an seperti dalam filem Point Break (1991) dan Speed (1994) dulu. Syukur Derek Kolstad masih berupaya memberi skrip yang hebat dan kadang-kala cukup puitis. Pendukung watak antagonis wanita Asia Kate Dillon masih mantap tetapi agak kurang bertenaga jika hendak dibandingkan dengan Adrianne Palicki dan Ruby Rose dalam Chapter 1 dan 2 dulu. Watak-watak yang memperkasakan wanita dalam filem aksi Indonesia seperti pesilat Hannah Al Rashid, Julie Estelle dan Dian Sastrowardoyo baru-baru ini lebih dilihat berupaya menggoncang dunia!
Bintang dan aura Keanu Reeves walaubagaimanapun masih relevan hingga ke hari ini. Hanya beliau yang berupaya membuat rambut sikat belah tengah nampak ‘cool’. Beliau juga tidak perlu melakukan ‘stunt’ melawan graviti dari tempat-tempat tinggi seperti Tom Cruise atau aksi-aksi melampau tidak logik melibatkan ‘CGI’ seperti Vin Diesel. Situasi ‘Bang! Bang! Pew! Pew!’ yang melibatkan orang jahat asyik tembak tak kena memang biasa berlaku dalam filem aksi sebegini dan boleh dimaafkan. Pertempuran jarak dekat di antara pistol dan pisau agak tidak adil tapi dilakukan dengan penuh gaya.
Penggambaran aksi di antara ruangan sempit rak-rak buku perpustakaan dan kawasan gelap yang hanya ditemani lampu LED hijau membuatkan penonton ternganga. Begitu juga dengan babak aksi kejar mengejar serta pergaduhan melibatkan motor, kuda, anjing dan manusia. Semuanya merupakan idea original yang amat jarang dipertontonkan dan memang wajar dipuji. Bunyi benda tajam yang menikam anggota badan sungguh mantap di samping bunyi bedilan yang berbeza-beza bagi setiap jenis senjata. Penggemar permainan video pasti menggemari aksi ‘third-person shooter’ ini dan sedikit ‘reference’ terhadap Assassin’s Creed yang mungkin tidak disengajakan.
Apapun, masih sukar untuk menggugat mendiang Michael Nyqvist dalam Chapter 1 sebagai ‘villain’ paling hebat. Willem Dafoe sebagai ‘sidekick’ yang setia dulu pun sungguh ketara tidak mampu disaingi oleh Halle Berry yang seakan-akan kekok melakukan babak-babak aksi. Tiada apa-apa yang istimewa dari Ian McShane dan Laurence Fishburne manakala John Leguizamo langsung tidak kelihatan. Hanya Lance Reddick sebagai Charon yang akhirnya lebih menonjol kali ini serta bakat Anjelica Huston yang tidak perlu dipertikaikan lagi.
Sayang sekali kerana bukan sahaja watak antagonis utamanya yang kurang memberi impak, malah keseluruhan Third Act filem ini amat lemah. Watak The Adjudicator tidak konsisten dari terlalu zalim tanpa belas kasihan kepada pemalu dan pemaaf dalam sekelip mata. Babak pertarungan yang melibatkan pasukan ninja Jepun dan pesilat Indonesia (penampilan istimewa oleh Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman) disimpan terlalu lama sehingga hampir ke penghujung saat-saat akhir. Hasilnya pula meleret-leret hingga menyebabkan penonton kepenatan, hilang fokus dan minat. Kemunculan bintang veteran seni bela diri ‘B-movie’ Mark Dacascos dalam aksi ‘finale’ masih menyeronokkan tetapi pertarungan Keanu Reeves vs. Common dalam Chapter 2 yang berterusan sehingga masuk ke dalam LRT dianggap lebih menarik serta mendebarkan.
‘Homage’ terhadap filem lagenda Enter The Dragon (1973) yang menampilkan pertarungan sengit dikelilingi cermin, skrin dan cahaya lampu nampak sungguh mempersonakan. Namun, ianya dibuat terlalu kerap, berlebih-lebihan malah di‘recycle’ secara terus dari Chapter 2. Selain itu, banyak juga lawak hambar yang mencemari penghujung filem ini. Pengarah dilihat seolah-olah tidak berminat langsung untuk memberikan satu konklusi lantas menjadikan filem ini sebagai penutup ‘endgame’ kepada sebuah trilogi. Penonton dipergunakan dan didesak agar menagih sebuah lagi sekuel di masa hadapan kerana masih banyak persoalan mengenai High Table yang belum dijelaskan. Filem ini ditamatkan dengan cara yang kurang kemas dan terburu-buru kononnya untuk berfungsi sebagai ‘cliffhanger’ namun amat gagal.
Ketiadaan impak emosional dalam Chapter 3 mencacatkan lagi filem ini. Alangkah baiknya kalau Chad Stahelski dapat mencontohi filem-filem yang ‘sama waktu’ dengannya seperti Road to Perdition (2002) yang memenangi Oscar pada tahun 2003 untuk Sinematografi Terbaik. Ataupun juga filem A History of Violence (2005), Taken (2008) serta lain-lain filem aksi Luc Besson. Filem Donnie Yen iaitu Swordsmen (2011) malah karya Dain Said iaitu Bunohan (2011) juga merupakan salah satu contoh yang baik. Paling tidak berikanlah sedikit ‘closure’ yang memuaskan seperti dalam The Bourne Trilogy (2002-2007) satu ketika dahulu (sila abaikan The Bourne Legacy dan Jason Bourne selepas itu). Meskipun begitu, filem-filem John Wick kini pasti akan dijadikan panduan pada masa akan datang untuk penggemar filem aksi sebaris dengan Die Hard (1988), Terminator 2: Judgment Day (1991), The Raid: Redemption (2011) dan Mad Max: Fury Road (2015). Watak John Wick yang terlalu ‘power’ pula selepas ini pasti hebat dijadikan bahan meme internet seperti Chuck Norris.
Ketika ulasan ini ditulis, JOHN WICK: CHAPTER 3 – PARABELLUM mendapat ‘rating’ 98% di Rotten Tomatoes! Filem ini kurang menjadi sebagai pelengkap trilogi tetapi sangat ‘solid’ sebagai sebuah filem aksi. ‘Action-sequence’ yang dihasilkan merupakan di antara yang paling cantik dan terhebat sepanjang zaman! Itu saja sudah cukup berbaloi dengan harga tiketnya.
Bagi mereka yang risau serta tidak yakin dapat mengawal nafsu makan ‘popcorn’ pada waktu siang di bulan puasa ini, bolehlah cuba menonton filem yang berdurasi selama 2 jam 23 minit ini di waktu malam (lebih afdal kiranya menonton tayangan ‘midnight’ iaitu selepas berterawih dan bertadarus sahaja).
JOHN WICK: CHAPTER 3 – PARABELLUM akan menemui penonton secara rasmi mulai 16 Mei/11 Ramadan ini. Terima kasih Keanu Reeves untuk satu lagi filem yang ‘excellent’! Tak sabar rasanya untuk menunggu Bill & Ted Face The Music pula tahun depan.
“Si vis pacem, para bellum.”
Rating: 8/10
Terbaharu, setelah tiga minggu memegang tempat pertama dalam di Amerika Syarikat, filem adiwira Avengers: Endgame akhirnya tumpas di tangan Keanu Reeves apabila tempatnya digantikan dengan filem John Wick 3: Parabellum dalam carta pecah pangguh Amerika Syarikat.