
Ulasan Filem: ‘Fast & Furious: Hobbs & Shaw’
Hari ini bermula tayangan di seluruh Malaysia bagi filem baharu francais Fast & Furious: Hobbs & Shaw. Boleh dianggap sebagai antara filem aksi paling ditunggu-tunggu untuk tahun ini.
Untuk filem kali ini, ia merupakan siri spin off bermakna, bukanlah sekuel mahupun prekuel dari filem Fast & Furious yang dibintangi oleh 3 watak dalam francais tersebut iaitu Dwayne Johnson sebagai Luke Hobbs, Deckard Shaw lakonan Jason Statham dan mak kepada Shaw, Magdalene Shawa lakonan Helen Mirren.
Filem ini mengisahkan tentang dua hero ikonik Hobbs dan Shaw menerima satu misi untuk menyelamatkan satu virus yang boleh mengancam kehidupan manusia. Mereka diarahkan untuk menghalang ancaman tersebut.
Namun, bukan semudah itu untuk mereka menyelesaikan misi kerana virus tersebut telah berada di dalam badan adik perempuan Deckard Shaw, Hattie Shaw yang dilakonkan oleh Vanessa Kirkby.
Tambahan pula, mereka perlu berhadapan dengan seorang penjahat digelar Black Superman yang mempunyai kuasa teknologi robot (seperti terminator) dalam badan iaitu Brixton Lore lakonan Idris Elba.
Jalan ceritanya cukup mudah untuk difahami dengan peralihan dari babak ke babak tidak terlalu lama serta jenaka yang tidak keterlaluan. Pada permulaan cerita, ia memaparkan watak Luke Hobbs dan Deckard Shaw yang tidak sebulu ibarat anjing dan kucing apabila mereka mengetahui misi ini perlu gandingan mereka berdua.
Sememangnya gandingan mereka berdua melibatkan banyak aksi lasak seperti tumbuk-menumbuk, tembak-menembak dan kejar-mengejar. Jika dibandingkan dengan filem Fast & Furious, sedikit kurang elemen memaparkan kereta-kereta mewah yang mereka gunakan. Mungkin mereka mahu memberi sedikit kelainan memandangkan filem ini hanyalah filem spin off, tetapi tidaklah mengurangkan rasa keterujaan penonton melihat aksi lasak yang dipaparkan.
Filem Hobbs & Shaw juga membawa elemen kekeluargaan seperti filem Fast & Furious. Jadi, sambil dipertontonkan dengan aksi mereka yang tidak masuk akal, penonton juga dapat merasai sentimen kekeluargaan antara keluarga Hobbs dan Shaw.
Ada satu babak yang memberi penonton sedikit throwback yang mana Shaw memberitahu Hobbs dan adiknya tentang misi di Itali menggunakan Mini Cooper. Secara keseluruhan, filem ini harus tonton bagi mereka yang mahukan filem aksi untuk tahun ini.
Ada 3 babak kredit dalam filem ini iaitu pre-credit, mid-credit dan post-credit, jadi perlu tunggu cerita ini habis sampai wayang buka lampu.
Rating: 8.5/10