
Ulasan Filem: ‘Dora And The Lost City Of Gold’
Pengarah: James Bobin
Masa tayangan: 102 minit
Pelakon: Isabela Moner, Jeff Wahlberg, Madeleine Madden, Nicholas Coombe, Eugenio Derbez, Eva Longoria, Michael Peña, Benicio Del Toro
Siri animasi Dora The Explorer yang ditayangkan bermula pada tahun 2000 mempunyai kelompok peminatnya yang tersendiri. Di Malaysia, siri Nickelodeon ini pada asalnya menggunakan Bahasa Sepanyol telah dialih bahasa kepada Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Dibawa ke panggung realiti, filem ‘Dora And The Lost City Of Gold’ secara umumnya berkisarkan mengenai pengembaraan Dora yang berada dalam misi mahu menyelamatkan kedua ibu bapanya dan membongkar rahsia di sebalik misteri kehilangan bandar emas, Parapatha.
Pada awal filem, penonton akan didedahkan sedikit kehidupan Dora di dalam hutan sewaktu kecil bersama kedua ibu bapanya. Dalam babak masa ini turut ada ditayangkan perpisahan antara Dora bersama Diego (Go Diego, Go!), sepupunya yang akan berpindah ke bandar.
Kemudian babak dipercepatkan kepada masa 10 tahun kemudian. Kedua ibu bapa Dora yang bekerja sebagai profesor mendapat petunjuk keberadaan Parapatha. Tidak mahu Dora turut serta dalam misi mereka, Dora dihantar ke bandar untuk tinggal bersama keluarga Diego dengan bekalan satu nasihat sahaja, iaitu: “Jadi diri sendiri.”
Kebiasaan hidup di hutan dengan hanya bertemankan Boots (monyet peliharaannya) menyebabkan Dora kekok kerana perlu menyesuaikan diri dengan suasana sekolah yang jauh berbeza dengan di hutan.
Sehinggalah pada suatu hari, Dora dan rakan-rakannya diculik dari lawatan sekolah oleh pencari harta karun bagi menunjukkan lokasi semasa kedua ibu bapanya yang mencari Parapatha. Bermula dari sinilah, pelbagai siri-siri pengembaraan yang mereka hadapi.
Walaupun perjalanan cerita sedikit lambat dan meleret, ada babak-babak yang mana penonton akan merasa terhibur dan kembali ke zaman kanak-kanak mereka. Antaranya, babak interaksi Dora dengan penonton dan nyanyian.
Agak sedikit hampa kerana tidak kesemua lagu popular siri animasi Dora seperti ‘We Did It’ dan ‘Bate Bate Chocholate’ akan dinyanyikan di dalam filem ini.
Daripada segi lakonan, dapat dilihat usaha Isabel Moner yang telah mencuba sehabis baik bagi menjayakan watak Dora seperti Dora di dalam siri animasi; rambut gaya bang, bermata besar, ceria dan aktif.
Namun adakalanya, Isabel dilihat seakan try hard dan menjadikan watak Dora terlihat sangat awkward untuk penonton dewasa yang mengikuti siri animasi kanak-kanak ini sejak daripada kecil.
Walaupun tidak banyak dialog menarik yang menjadi tagline Dora seperti “Swiper, jangan mencuri” yang mana ianya akan disambut oleh Swiper dengan ayat “Oh, man…” di dalam filem ini, kehadiran Swiper si musang pencuri mencuri tumpuan penonton dengan aksi lucunya yang sedikit tidak bijak.
Genre yang sepatutnya bersifat penggembaraan seakan menjadi filem aksi seperti Tomb Rider dengan beberapa paparan babak yang tidak sesuai seperti aksi diserang dengan anak panah oleh penjaga Parapatha.
Iyalah, takkanlah mahu sama 100% seperti siri animasi kan? Tapi… Hanya pengikut siri animasi Dora sahaja yang akan faham perasaan tersebut.
Secara konklusinya, filem ‘Dora And The Lost City Of Gold’ memang sesuai untuk tontonan santai seisi keluarga kerana banyak memaparkan elemen-elemen positif seperti nilai kerjasama dan kekeluargaan.
Sudah mula ditayangkan di semua pawagam di Malaysia hari ini, apa kata anda tonton dahulu dan kongsikan pula pengalaman menonton anda bersama kami. Tonton trailer filem Dora And The Last Gold Of City di SINI.
Selamat menonton!
Rating: 8.5/10
Makin banyaklah peluang pekerjaan dengan adanya JStarS ini.
JStarS Group and KOLS : Grand Launch
dan jangan lupa subscribe Youtube PLAY ON DEMAND.