
Ulasan Filem: Dolittle
Umum sedia maklum, Robert Downey Jr. sudah terkenal dengan karakter Iron Man, filem aidiwira dari Marvel Studios. Jika anda belum pernah melihat Robert Downey Jr. membawa watak selain adiwira, inilah peluangnya menerusi filem Dolittle yang sudah ditayangkan sejak semalam (23 Januari).
Filem bergenre pengembaraan fantasi ini merupakan versi baharu dari filem Dr. Dolittle (1998) yang dibintangi oleh Eddi Murphy yang diadaptasi dari karya ‘The Voyages of Doctor Little’ yang ditulis oleh Hugh Lofting.
Dolittle mengisahkan tentang seorang doktor lakonan Robert Downey Jr. yang terkenal bukan sahaja boleh merawat manusia malah boleh merawat haiwan begitu baik sekali kerana beliau berkebolehan berinteraksi dengan mereka.
Atas kebolehan itu, Ratu England memberi hadiah sebuah rumah agam dengan keluasan amat besar untuk Dolittle tinggal bersama haiwan-haiwan kesayangannya seperti beruang kutub, angsa, anjing, gorila, zirafah, burung unta dan lain-lain.
Terdapat satu peristiwa yang mana Dr. John Dolittle sudah tidak bersosial lagi dengan manusia dan tidak mahu lagi merawat manusia dan haiwan di luar.
Suatu hari, Ratu England jatuh sakit dan memerlukan perkhidmatan Dr. Dolittle untuk merawatnya. Pada waktu itu, datanglah seorang kerabat diraja, Lady Rose dan pada masa yang sama seorang remaja lelaki bernama Stubbins menjumpai rumah agam Dolittle untuk meminta pertolongan merawat seekor tupai cedera terkena tembakan senapang pemburu.
Setelah sekian lama Dolittle mengasingkan diri, akhirnya beliau bersetuju untuk merawat Ratu England. Zaman dahulu, sukar untuk memastikan punca seseorang itu sakit kerana kekurangan teknologi tetapi Dolittle mudah untuk mengetahuinya kerana dapat berinteraksi dengan haiwan sekeliling termasuk haiwan belaan ratu.
Setelah mengetahui punca dan cara rawatannya, maka bermulalah episod pengembaraan Doliltte bersama haiwan-haiwannya dan Stubbins (remaja lelaki yang tidak sengaja menjumpai rumah agam Dolittle dan tertarik untuk berinteraksi dengan haiwan seperti Dolittle).
Kita biasa menonton apabila seseorang itu mulakan pengembaraan, akan diiringi bersama rakan seperjuangan tetapi Dolittle mengembara bersama haiwannya yang juga merangkap sahabat dan penasihat.
Setiap haiwan yang bersama Dolittle mempunyai karakter berbeza seperti sifat manusia. Ada yang sentiasa bersemangat, pentingkan diri, optimis, tegas dan sebagainya.
Plot penceritaan filem ini sangat mudah difahami dan dapat diagak pengakhiran ceritanya. Ada sahaja unsur humor yang pastinya tidak kering gusi menontonnya. Menerusi filem ini dapat kita lihat setiap karakter yang berbeza itu menguatkan lagi ikatan sebuah kumpulan.
Secara keseluruhan, filem ini sangat sesuai untuk ditonton bersama keluarga terutama bersama kanak-kanak untuk mengenal pasti setiap haiwan yang berada di muka bumi ini.
Rating: 8/10
Trending now



