
Ulasan Filem: Child’s Play
Mempunyai anak patung yang boleh bergerak dan bercakap, menjadi mimpi ngeri kepada semua kanak-kanak apabila alat permainan itu hidup bertujuan memberi ancaman.
Filem Child’s Play merupakan filem reboot tahun 1988 yang popular dengan gelaran Chucky dan filemnya pada kali ini berbeza dengan filem terdahulu walaupun konsep pembunuhannya kita sudah tahu.
Ia mengisahkan tentang anak patung berteknologi tinggi dari sebuah syarikat terkenal yang kononnya berfungsi boleh menjadi teman baik kepada tuannya, telah digodam sistemnya atas sebab tertentu oleh pekerja syarikat tersebut.
Anak patung tersebut atau lebih dikenali sebagai Chucky kemudiannya dijadikan hadiah kepada Andy oleh ibunya. Chucky menjadi sahabat kepada Andy, bersikap terlalu protective sehinggakan jika dia tidak boleh menjadi kawan Andy, tiada siapa yang boleh.
Oleh sebab sistem keselamatan pada anak patung itu telah dibuang, maka ia boleh menerima semua jenis pembelajaran yang berlaku secara tidak langsung terhadap dirinya.
Penerimaan secara tidak langsung itulah membuatkan anak patung berteknologi tinggi ini mula belajar cara membunuh dan sebagainya.
Dari sini, penonton mendapat pengajaran bahawa keperibadian anak-anak terbentuk daripada apa yang mereka melihat. Anak patung yang menggunakan teknologi AI ini seolah-olah memberi amaran terhadap integrasi teknologi yang mana teknolgi canggih juga mendatangkan bahaya jika terlepas pandang atau tidak dikawal.
Jalan cerita dalam filem Child’s Play ini digarap dengan sangat rapi dengan pengakhiran filem disusun dengan baik. Filem reboot pada kali ini tidak banyak menunjukkan adegan pembunuhan tetapi turut menyelitkan unsur jenaka sepanjang filem ini.
Manakala motif pembunuhan Chucky berbeza dengan motif pembunuhan filem terdahulu yang mana motifnya adalah untuk menjadi satu-satunya kawan Andy.
Penampilan Chucky dalam filem ini tidaklah seram seperti filem sebelumnya yang mana jika kita ada anak patung dengan muka yang agak menyeramkan, pasti kita tidak akan menyimpannya.
Namun, penampilan yang kelihatan comel dan biasa inilah sebenarnya lebih menyeramkan kerana kejahatannya tidak nampak.
Rating: 7.5/10