Ulasan Filem Cats

Ulasan Filem: Cats

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Hari ini telah berlangsungnya tayangan filem fantasi muzikal Cats di pawagam seluruh Malaysia.

Filem ini disaran tonton kepada penggemar teater dan filem bergenre muzikal kerana ia sarat dengan muzikal. Berbeza filem Cats dengan filem muzikal yang lain, plot ceritanya dikisahkan dalam bentuk nyanyian berbanding filem lain yang hanya meletakkan lagu sebagai selingan.

Muzikal ini juga diambil daripada buku kumpulan puisi oleh T.S Eliot, ‘Old Possum’s Book of Practical Cats’ (1939). Teater muzikal ‘Cats’ mencatat sejarah sebagai rancangan paling lama di West End dan Broadway dengan tempoh tayangan selama 21 tahun serta berjaya merangkul Anugerah Muzikal Terbaik di Olivier dan Evening Standard Award.

Cats menceritakan setiap jenis kucing mempunyai karakter yang berbeza. Ia mengisahkan sekumpulan kucing yang dikenali sebagai ‘Jellicle cats’ yang menampilkan pelbagai jenis karakter, sikap dan perjalanan hidup yang dilalui oleh kucing-kucing Jellicle ini.

Ulasan Filem Cats

Latar cerita hanya untuk satu malam, kucing-kucing ini perlu membuat pilihan iaitu ‘Jellice choice’ yang mana kucing terpilih akan naik ke Heaviside Layer dan memulakan kehidupan baharu.

Filem ini sarat dengan nyanyian dan pelbagai variasi tarian oleh setiap kucing untuk mempamerkan karakter mereka -kucing jahat, kucing budiman, kucing terpinggir yang turut diselit mesej dan nilai-nilai murni yang perlu dijadikan pengajaran.

Ulasan Filem Cats
Sumber: Vanity Fair

Ramai barisan selebriti yang hebat menjayakan filem ini antaranya James Corden, Judi Dench, Jason Derulo, Idris Elba, Jennifer Hudson, Ian McKellen, Taylor Swift, Rebel Wilson dan juga Francesca Hayward – penari balet dari Royal Ballet yang menjadikan filem CATS ini sebagai pentas debutnya dalam industri perfileman.

Bagi anda yang ingin bertatih untuk menjiwai filem muzikal, boleh mencuba menonton filem Cats ini untuk merasai pengalaman luar biasa. Yang penting, layanlah makhluk kucing sebaiknya.

Rating: 7.5/10