
Ulasan Filem: Captain Marvel, Penuh Emosi Dan Impak
Filem: Captain Marvel.
Pelakon: Brie Larson, Samuel L. Jackson, Ben Mendelsohn, Jude Law, Annette Bening
Pengarah: Anna Boden & Ryan Fleck
Plot [7.0]
Ketika kami sedang menonton Captain Marvel, selepas hampir 30 minit berlalu, suasana di dalam pawagam tiba-tiba berubah. Terdapat anak-anak kecil yang bermundar-mandir sambil bermain-main dengan popcorn. Tidak kurang juga penonton dewasa yang berkerut dahi dan sudah mula melihat jam di tangan. Babak awal filem ini langsung tidak menarik. Planet Hala tidak seindah Asgard. Watak Supreme Intelligence di dalam komik juga diubah amat ketara dan hanya mengambil paras rupa Annette Bening. Misi menyelamat bersama Starforce di planet Torfa yang suram dan gelap amat menyakitkan mata dan langsung tidak menarik untuk ditonton. Tidak hairanlah separuh pawagam berada dalam kebosanan.
Namun, selepas adegan di Blockbuster Video bermula, suasana menjadi lebih seronok. Plot juga berjalan dengan lancar. Pengarah kurang ternama Anna Boden dan Ryan Fleck cuba mencipta kelainan berbanding filem-filem superhero sebelum ini dengan membawa penonton berteka-teki mengenai misteri di sebalik flashback yang dialami oleh Carol Danvers. Penonton perlu banyak bersabar dan tidak hanya ‘menunggu untuk disuap’ sahaja. Tetapi, masih banyak terdapat kelemahan serta plot holes yang menghantui ruangan forum-forum siber ketika ini. Kemunculan Flerken secara tiba-tiba dan keadaan keluarga Danvers di bumi misalnya tidak dijelaskan dengan baik. Bagaimana Dr. Wendy Lawson memperolehi Tesseract dari Howard Stark juga menjadi tanda tanya. Captain Marvel menjadi contoh sebuah filem yang menjadi mangsa kepada lazy screenwriting.
Lakonan [7.5]
Selepas menonton Scott Pilgrim vs. the World (2010), kami amat terpegun dengan Brie Larson yang lebih menyerlah dari Mary Elizabeth Winstead dalam filem tersebut. Kami jangkakan selepas filem itu, beliau akan ‘pergi jauh’ dan ternyata firasat kami benar. Selepas memenangi Oscar untuk Room (2015), Brie Larson terus melangkah jauh dan kali ini diberi peranan memegang watak utama filem superhero wanita pertama untuk Marvel Cinematic Universe (MCU). Walaupun beliau mungkin tidak mampu menggugat kesempurnaan paras rupa Ratu Cantik Israel – Gal Gadot dalam filem DC Extended Universe (DCEU) – Wonder Woman (2017), namun lakonan Brie Larson dalam filem Captain Marvel ini sudah cukup mempersonakan.
Chemistry di antara Brie Larson dan Samuel L. Jackson pula memang ‘menjadi’ untuk filem ini. Mungkin kerana mereka sudah beberapa kali pernah digandingkan bersama sebelum ini. Kadang kala mereka berdua nampak selamba dan ‘main-main’ serta tidak serius berlakon. Samuel L. Jackson sebagai Nick Fury dan Clark Gregg sebagai Ejen Coulson juga tampil berbeza kali ini. Sebagai filem prekuel, kedua-duanya dipaparkan lebih muda serta mempunyai ‘lebih banyak’ rambut. Watak Nick Fury kali ini juga lebih bersifat comic relief dan berbeza dengan filem-filem MCU sebelum ini yang menampilkan beliau sebagai seorang bos yang garang dan serius. Watak Jude Law dan Annette Bening tidak berapa menyerlah dalam filem ini. Hanya Ben Mendelsohn yang layak dipuji kerana berjaya mencuri perhatian setiap kali beliau muncul di skrin.
Seperti biasa, mendiang Stan Lee kembali melalui cameo yang ringkas tapi cukup bermakna yang menyaksikan beliau sedang bertungkus-lumus menghafal skrip Mallratts (1995). Sebagai filem MCU pertama yang dikeluarkan selepas kematian Stan Lee, logo Marvel Studios turut diubah bagi memperingati mendiang dengan mesej: “Thank you Stan”.
Tahap Hiburan [8.0]
Para penonton Generasi X mungkin lebih seronok menonton filem ini yang banyak menampilkan lagu-lagu era 90-an dari Nirvana, Hole, Garbage, R.E.M., No Doubt, Des’ree, TLC dan ramai lagi. Banyak juga lain-lain rujukan pop culture yang menyentuh era berkenaan. Pasti seronok juga menonton Captain Marvel yang berjaya mencapai tahap ‘Super Saiyan’ siap dengan rambut mengerbang bersinar-sinar, mata bercahaya dan badan terapung serta berkilau-kilauan!
Dalam filem ini, Captain Marvel digambarkan sebagai seorang yang cukup ‘power’. Siapa yang berani mencabarnya pasti ‘kena pukul’. Kumpulan Starforce, Yon-Rogg mahupun Ronan The Accuser juga langsung tidak memberi apa-apa cabaran dan ancaman buat beliau. Itulah masalahnya. Babak pertempuran akhir dalam apa-apa jua filem superhero sepatutnya panjang dan epik. Misalnya ketika Superman lawan General Zod, Hulk lawan Abomination dan Black Panther lawan Killmonger. Bukannya seperti Doctor Strange lawan Dormammu. Seolah-olah langsung tidak ada apa-apa pun yang berlaku! Begitu juga dengan Captain Marvel. Tiada apa-apa pun yang betul-betul ‘wow!’. Contoh pertempuran akhir paling hebat dan memberi kesan yang mendalam kepada penonton ialah dalam filem arahan Josh Trank iaitu Chronicle (2012). Filem Superman II (1980) atau Superman II: The Richard Donner Cut (2006) juga menampilkan aksi hebat pertempuran akhir yang wajar dicontohi filem-filem superhero kini.
Captain Marvel masih menghiburkan. Namun, MCU perlu mencuba formula baru untuk filem-filem origin nya. Jalan cerita juga perlu menarik dan bukan sekadar menyumbat soundtrack yang hebat semata-mata. Watak superhero dengan amnesia lakonan Will Smith dalam Hancock (2008) dulu lebih seronok dan menyentuh perasaan. Tidak dinafikan Carol Danvers memang melampau ‘power’. Tetapi, kesombongan watak ini untuk tidak mahu menetap di bumi dan hanya mahu dihubungi dengan pager ketika ‘betul-betul emergency’ tidak begitu ‘heroic’. Bayangkan apa yang akan berlaku kepada Loki dan askar-askar Chitauri sekiranya Nick Fury berjaya menghubungi Captain Marvel dalam The Avengers (2012) dulu. Selepas tamat kredit akhir, penonton seolah-olah sudah mendapat bayangan ‘habislah Thanos kena pukul lepas ni’. Tetapi, mengambilkira durasi Avengers: Endgame (2019) yang memakan masa sehingga 3 jam, pasti tidak semudah itu Thanos dapat ditewaskan kan?
Keseluruhan [7.5]
Walaupun menghiburkan, Captain Marvel kekurangan aksi yang mendebarkan dan drama yang benar-benar memberi impak kepada emosi penonton.
(Kredit Foto: IMDb)
Trending now



