James Cameron Avatar The Way Of Water

Ulasan Filem – Avatar: The Way Of Water, Penantian 13 Tahun Yang Sangat Berbaloi!

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

(TANPA SINOPSIS & SPOILER)

Mereka yang sentiasa mengikuti perjalanan karier seni pengarah James Cameron pasti perasan pembaharuan serta magis yang dibawakan olehnya dalam dunia perfileman selama ini.

Paling ketara ialah bagaimana dia sering membangunkan dan menggunakan sebaiknya teknologi kesan efek visual CGI (computer-generated imagery) terbaharu untuk menawarkan kelainan dan pembaharuan dalam setiap filemnya.

Maka lahirlah ‘liquid-metal effect, ‘advanced photorealistic morphing’ dan teknologi 3D gempak yang membuatkan peminat filem di seluruh dunia ternganga kagum dengan pengarah genius ini menerusi filem-filem seperti The Abyss (1989), Terminator 2: Judgment Day (1991) dan Avatar (2009).

Ramai juga pasti perasan James Cameron sebenarnya merupakan seorang yang sangat meminati serta obses dengan air dan lautan.

Ini jelas dapat dilihat sejak tahun 1981 lagi menerusi filem pertama arahannya iaitu Piranha II: The Spawning, The Abyss dan Titanic serta beberapa lagi siri dokumentari ekspedisi kapal selam dan dunia lautan yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

Ketika Titanic berjaya mengutip lebih AS$1 bilion pada 1997 dan menjadi filem terlaris sepanjang zaman, ramai yang tertanya-tanya apa pula projek dan pembaharuan yang bakal dibawakan oleh James Cameron untuk menyusuli kejayaannya tersebut.

Dia akhirnya kembali membawa buah tangan baharu 12 tahun selepas itu iaitu pada tahun 2009 dengan lahirnya Avatar yang memecah rekod ‘box-office’ dunia dan berjaya mengutip lebih AS$2 bilion serta menjadikannya filem terlaris dan masih lagi tidak mampu dipintas oleh mana-mana filem sehingga kini!

Malangnya selepas itu, James Cameron hanya aktif di belakang tabir dalam menghasilkan filem-filem seperti Alita: Battle Angel (2019) dan Terminator: Dark Fate (2019) yang agak ‘biasa-biasa’ dan boleh dikatakan sebagai agak menghampakan.

Lebih mengecewakan, dalam filem siri Terminator terakhir itu juga, dia seolah-olah sengaja ‘membunuh’ watak ikonik ‘cyborg’ ganas dan kejam dari masa depan yang sangat diminati ramai sebelum ini iaitu T-800 lakonan Arnold Schwarzenegger dengan menjadikannya sebagai seorang penjual langsir!

Adakah James Cameron sudah kehilangan sentuhan berbisa? Kini, selepas penantian yang panjang selama 13 tahun sejak Avatar pada 2009, persoalan tersebut akhirnya terjawab.

James Cameron kembali lagi sebagai pengarah menerusi filem susulan– Avatar: The Way Of Water. Untuk kali ini juga, dia sekali lagi membawakan tema air dan lautan!

Berbanding dengan filem pertama Avatar sebelum ini yang hanya memakan masa 2 jam 42 minit, filem sekuelnya kali ini lebih panjang dan berdurasi sehingga 3 jam 12 minit, iaitu hanya 2 minit lebih pendek dari Titanic.

Secara jujur, Avatar: The Way Of Water sebenarnya boleh dipendekkan menjadi 2 jam 30 minit sahaja. Tetapi, James Cameron gigih ingin membawa penonton menerokai alam ciptaannya menerusi seni visual yang sangat cantik.

Hasilnya sangat mengagumkan! Penonton dijamin tidak akan sesekali merasa bosan kerana sentiasa disajikan dengan pesona keindahan flora dan fauna planet Pandora yang sangat mengasyikkan dari mula hingga akhir.

Setiap ‘frame’ dihasilkan dengan begitu terperinci dan berjaya memaparkan imej yang begitu ‘super’ realistik. Begitu ‘real’ dan langsung tak nampak macam imej janaan komputer! Patutlah ambil masa lebih sedekad untuk menghasilkan filem ini.

Langsung tidak nampak cacat cela seolah-olah penggambaran benar-benar dilakukan di atas planet asing dan bukannya di dalam studio yang melibatkan ‘green screen’ semata-mata.

Inilah keajaiban yang berjaya dibawakan oleh firma Industrial Light & Magic (ILM) di bawah sentuhan imaginasi kreatif James Cameron.

Jika dalam filem pertama penonton dibawa menerokai keindahan dunia ciptaannya yang banyak memaparkan suasana di atas darat bersama kehijauan hutan dan juga aksi terbang tinggi bersama ‘banshee’ di udara, kini James Cameron bawakan pula habitat air dan lautan Pandora.

Babak aksi dan peperangan yang dipaparkan di dalam air dan lautan kali ini juga sangat menakjubkan dan belum pernah dilakukan oleh mana-mana pengarah filem sebelum ini!

Tak perlulah nak dibandingkan dengan filem-filem DC Extended Universe (DCEU) atau Marvel Cinematic Universe (MCU) seperti Aquaman (2018) dan Black Panther: Wakanda Forever (2022). Memang ketara habis James Cameron ‘pukul’ semua!

Keindahan menyaksikan koreografi aksi yang memaparkan mesin dan jentera moden peperangan ciptaan manusia bertembung dengan spesies makhluk asing dan haiwan di lautan dalam filem ini memang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Oleh itu, amatlah disarankan kepada mereka yang ingin menonton filem ini agar menyaksikannya di pawagam yang mempunyai skrin terbesar atau lebih afdal dalam bentuk 3D.

James Cameron juga dilihat cuba untuk lari sejauh yang mungkin dari kecaman yang dilontarkan terhadap filem Avatar sebelum ini yang dikatakan menciplak plot Dances with Wolves (1990), FernGully: The Last Rainforest (1992), Pocahontas (1995) dan The Last Samurai (2003).

Oleh yang demikian, Avatar: The Way Of Water kali ini dilihat menerima acuan yang berbeza serta tampil dengan idea yang lebih original.

James Cameron juga dilihat cuba membawa pembaharuan menerusi tema kekeluargaan dan konsep ‘YA’ (young adult) yang memaparkan plot cliché remaja bermasalah untuk menarik lebih ramai penonton muda.

Mujur watak-watak tersebut dapat menyinar dengan baik dan berupaya memberi kesan emosi kepada penonton terutama sekali watak Lo’ak dan Kiri.

Namun, tidak banyak yang boleh dikatakan mengenai watak yang dibawakan oleh Sam Worthington dan Zoe Saldana kali ini.

Antagonis lakonan Edie Falco juga sepatutnya dapat dikembangkan lagi seiring dengan watak Stephen Lang. Mungkin untuk episod akan datang.

Meskipun begitu, rata-ratanya dapat memainkan peranan dengan baik walaupun hanya menerusi gerak badan dan mimik muka menggunakan teknologi ‘motion capture’ sahaja.

Malah, ‘lakonan’ watak-watak makhluk CGI seperti spesies ikan paus yang digelar ‘tulkun’ juga berupaya menjentik rasa simpati kepada penonton.

Jika babak-babak akhir filem pertama Avatar menyebabkan ramai yang kagum dengan aksinya yang ‘awesome’, kali ini James Cameron turut mengulanginya kembali seperti yang pernah dilakukannya dalam filem-filem ‘action-packed’nya terdahulu misalnya seperti The Terminator (1984), Aliens (1986) dan True Lies (1994).

Klimaks penuh saspens terutama sekali babak klaustrofobia memasuki minit-minit akhir filem ini juga dijamin akan membuatkan penonton terpaku keras walaupun terpaksa menahan diri untuk ke tandas.

Mungkin akibat filem ini ditangguhkan terlalu lama, ramai yang sudah kurang teruja dan tidak berminat lagi untuk mengetahui kisah Jake Sully dan Neytiri yang seterusnya.

Faktor itu juga mungkin membuatkan filem sekuel ini tidak mampu mencapai status pecah panggung yang diharapkan atau mengatasi kutipan filem sebelumnya.

Namun, secara keseluruhannya Avatar: The Way Of Water masih dapat memuaskan hati peminat tegar filem aksi dan sains fiksyen.

James Cameron terbukti masih mampu membikin filem yang sangat menghiburkan dan penantian 13 tahun selama ini bolehlah dikatakan sebagai ‘sangat-sangat’ berbaloi!

Sesetengah filem hanya layak untuk ditonton di pawagam sahaja. Sudah tentu di antaranya ialah filem yang diarahkan oleh James Cameron.

Walaupun mengambil masa bertahun-tahun, dia sentiasa berjaya menawarkan sesuatu yang baharu buat peminat-peminatnya.

Tak sabar menunggu apa pula yang ditawarkan oleh James Cameron dalam Avatar 3 (2024), Avatar 4 (2026) dan Avatar 5 (2028) selepas ini.

Rating: 9/10

James Cameron Avatar The Way Of Water