Alita: Battle Angel

Ulasan Filem: Alita: Battle Angel

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Alita: Battle Angel

Filem: Alita: Battle Angel

Lakonan: Rosa Salazar, Christoph Waltz, Jennifer Connelly, Mahershala Ali, Ed Skrein, Jackie Earle Haley

Arahan: Robert Rodriguez

Alita: Battle Angel

Plot [6.8]

Sedikit kecewa kerana plot Alita: Battle Angel agak bercelaru dan tidak fokus. Terlalu banyak yang disumbatkan di dalam filem yang memakan masa hanya 2 jam ini. Khabarnya, 4 dari 9 jilid karya Yukito Kishiro digunakan untuk filem ini sahaja. Ini menghasilkan jalan cerita yang bercampur-baur, kelam kabut dan gagal dipersembahkan dengan baik. Masih banyak persoalan yang tidak dijawab dan tergantung seolah-olah James Cameron dan Robert Rodriguez sengaja membiarkan penonton tertanya-tanya dan mengharapkan sekuelnya pada masa akan datang. Hasilnya, plot untuk filem sulung ini yang menjadi mangsa.

Pada mulanya Alita dibiarkan hanyut mencari identitinya sendiri. Kemudian berubah arah kepada plot meminati sukan Motorball. Tidak lama selepas itu, beralih kepada minat menceburi karier sebagai Hunter-Warrior pula. Tiba-tiba diselit pula dengan misi Alita untuk mengumpul wang ‘Tabung Harapan’ buat Hugo. Masih sempat juga ditambah dengan sedikit elemen cinta remaja yang kurang menjadi.

Disebabkan masalah plot yang bercelaru ini, fokus sebenar pada watak Alita tidak kesampaian. Dari mana asal-usul sebenar Alita? Kenapa hanya Alita yang mempunyai teknologi dan kemahiran Panzer Kunst? Apakah sebenarnya yang terdapat di Zalem? Kenapa flashback Alita tidak dirungkaikan? Konflik-konflik ini agak lebih sesuai difokuskan sebagai episod pengenalan kepada watak Alita.

Lakonan & visual [ 7.7]

Kehadiran 3 orang pemenang dan 2 orang lagi yang pernah tercalon untuk Oscar tidak banyak membantu filem ini. Mungkin kerana bakat mereka agak terbatas dan terikat dengan skrip sebuah filem sains fiksyen yang kekurangan drama dan perkembangan watak. Hanya Rosa Salazar yang berperanan besar menggayakan pergerakan dan mimik muka Alita yang benar-benar nampak hidup dan beremosi.

Alita: Battle Angel

Robert Rodriguez masih suka terikut-ikut gaya filem-filemnya sebelum ini seperti siri filem-filem Spy Kids dan Sin City. Terlalu bergantung kepada green screen dan visual teknik pengimejan komputer semata-mata menyebabkan banyak babak-babak di dalam Alita: Battle Angel nampak terlalu fake. Lebih manis kiranya untuk filem ini, beliau mencontohi visual filem-filem seperti Blade Runner (1982), The Fifth Element (1997) atau Ready Player One (2018). Lebih gempak jika beliau berani mencuba practical effect gaya Christopher Nolan atau George Miller. Tidakpun contohilah Gareth Edwards atau J.J. Abrams yang berani keluar dari bayang-bayang George Lucas dengan membawa penonton ke lokasi yang cantik dan sinematografi yang menarik dalam dunia Star Wars. Bukan hanya terperap shooting di dalam studio bersama bakat-bakat besar ini sahaja.

Alita: Battle Angel

Hairan juga kerana James Cameron sebagai produser dan sifu sepatutnya lebih arif mengenai bidang ini. Namun, beliau seperti ‘lepas tangan’ dan memberi kebebasan penuh kepada Robert Rodriguez yang persis seorang amatur. Wajah watak-watak cyborg tambahan misalnya yang dilakonkan oleh Jackie Earle Haley dilihat umpama watak kartun. Alicia Vikander dalam Ex Machina (2014) lebih meyakinkan. Siri baru di Netflix berjudul Love, Death & Robots juga jauh lebih hebat dari segi visual dan teknik motion capture nya berbanding Alita: Battle Angel yang berbajet hampir AS$200 juta ini.

Alita: Battle Angel

Tahap Hiburan [7.0]

Percubaan Hollywood untuk mengangkat siri manga Jepun menjadi sebuah filem hebat selalunya tidak kesampaian. Banyak watak-watak menjadi mangsa whitewashing. Plot juga diubah sesuka hati dan jauh menyimpang dari idea asal seperti Speed Racer (2008), Dragonball: Evolution (2009) dan Ghost in the Shell (2017). Namun, ada juga filem-filem adaptasi manga ini yang agak ‘boleh tahan’ dan mendapat sambutan seperti Edge of Tomorrow (2014) dan filem Netflix – Death Note (2017).

Alita: Battle Angel merupakan filem terakhir dari 20th Century Fox sebelum studio ini diambil alih Disney. Selepas lebih sebulan ditayangkan, jumlah kutipan di Amerika Syarikat hanya mencecah AS$80 juta. James Cameron biasanya menghasilkan skrip untuk filem yang diarahkannya sahaja. Sejak 1995 lagi beliau berhasrat untuk menghasilkan filem ini. Namun, akibat kekangan teknologi dan peruntukan masa menghasilkan Titanic (1997) ketika itu, hasrat tersebut dilupakan. Pada tahun 2000, beliau sempat menerbitkan siri TV berjudul Dark Angel yang dibintangi Jessica Alba. Siri ini seolah-olah menjadi pengubat baginya kerana tidak mampu menghasilkan Alita. Kini, akibat jadualnya yang terlalu padat menghasilkan sekuel filem-filem Avatar sehingga tahun 2025 (Avatar 5), tugas menghasilkan Alita diserahkan kepada Robert Rodriguez. Maka, lahirlah filem yang tidak seberapa ini.

Alita: Battle Angel tidaklah membosankan. Masih banyak terdapat aksi-aksi pertarungan yang hebat. Watak antagonist nya amat-amat lemah. Plot dan konflik juga kurang menarik. Subplot Motorball ‘tidak sampai’ dan gagal memberi impak seperti pod racing dalam prekuel Star Wars. Tiada watak lain yang seronok ditonton selain dari watak Alita sendiri. Walaupun tidak mempunyai sebarang ‘kryptonite’, kekuatan sebenar Alita tidak ditunjukkan. Penonton tertunggu-tunggu untuk melihat kekuatan sebenar Alita di babak-babak akhir namun terpaksa pulang kecewa. Lagu tema Swan Song dari Dua Lipa juga tidak catchy seperti single-single Dua Lipa sebelum ini.

Alita: Battle Angel

Rumusan keseluruhan:

Alita: Battle Angel tidak mempunyai apa-apa yang istimewa. Semuanya seolah-olah ‘been there, done that’. Mungkin siri manga Alita lebih sesuai dijadikan episod bermusim di Netflix, HBO atau Amazon. Atau mungkin kami terlalu meletak harapan yang tinggi kepada James Cameron. Selepas filem ini, kami sedikit gusar menantikan Terminator: Dark Fate November nanti.

Alita: Battle Angel  [7.2]

 

(Foto Kredit: IMDb)