Ulasan 47 Meters Down Uncaged

Ulasan Filem: ’47 Meters Down: Uncaged’

Langgan saluran Telegram @ODISI untuk kemaskini terpantas.

Genre: Pengembaraan, Seram, Ngeri
Pengarah: Johannes Roberts
Masa tayangan: 90 minit
Pelakon: John Corbett, Sophie Nélisse, Corinne Foxx, Brianne Tju, Sistine Stallone.

Sebuah lagi filem mengenai pertarungan manusia dan haiwan atau secara spesifiknya lagi pertarungan manusia dengan ikan jerung sebagai ancaman utama. Filem ini merupakan sebuah filem sekuel ’47 Meters Down’ yang ditayangkan pada 2017, tetapi tiada kena mengena dengan kisah sebelum ini.

Jika sebelum ini ia berkaitan manusia terperangkap dalam sebuah sangkar besi dan cuba untuk menyelamatkan diri daripada dimakan jerung, sekuel kali ini mengisahkan empat orang remaja perempuan pergi menyelam di sebuah kawasan terpencil.

Kisah bermula dua orang adik beradik tiri iaitu Mia (Sophie Nélisse) dan Sasha (Corinne Foxx) sepatutnya pergi bercuti di pulau tetapi diajak oleh dua rakan Shasha untuk ke lokasi rahsia tanpa pengetahuan ahli keluarga. Pada mulanya, si adik Mia agak keberatan untuk mengikut ajakan kakaknya namun kemudiannya dia bersetuju untuk bersama.

Pada permulaan cerita, penonton dapat melihat keempat-empat gadis ini mempunyai karakter berbeza yang mana ia membawa kefahaman tentang sikap mereka hingga ke penghujung cerita.

Alexa (Brianne Tju) membawa mereka semua ke kawasan hutan yang mana lokasi itu ialah sebuah lagun yang tidak semua orang mengetahuinya. Keseronokan mereka bermandi-manda mencapai kemuncak apabila Alexa memberitahu mereka terdapat sebuah bandar zaman purba yang ditenggelami air di kawasan lagun itu.

Ulasan 47 Meters Down Uncaged

Darah muda yang mengalir dalam diri membuatkan keempat-empat mereka ingin menyelam meneroka keindahan penempatan purba itu setelah mendengar cerita pengalaman rakan mereka, Alexa pergi menyelam ke sana sebelum ini.

Setelah memakai alat kelengkapan menyelam yang tersedia di lagun itu – alatan kelengkapan menyelam kepunyaan bapa kepada dua adik beradik tiri itu untuk tujuan penyelidikan, mereka mula menyelam ke arah penempatan rahsia itu.

Kemuncak ketegangan dalam filem ini bermula apabila salah seorang rakan mereka, Nicole (Sistine Stallone) menghiraukan nasihat rakan-rakan lain untuk tidak menyentuh apa-apa yang ada dalam kawasan penempatan itu. Nicole pada awalnya cuba menyentuh seekor ikan tidak bermata (ikan yang sudah berevolusi kerana berada di kawasan gelap) terkejut apabila ikan tersebut tidaklah jinak seperti sangkaanya.

Ulasan 47 Meters Down Uncaged

Nicole terlanggar salah sebuat tiang di sana yang mengakibatkan seluruh kawasan di situ menjadi kacau-bilau. Ketika inilah muncul seekor jerung tidak bermata datang mencari mangsa kerana terlihat pergerakan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

47 Meters Down: Uncaged mempunyai plot cerita yang disusun dengan baik dan mudah untuk difahami. Visual keindahan alam sekitar seperti di hutan, lagun, gua dan pantai dalam filem ini cukup baik membuatkan penonton terpesona sehingga lupa apa yang bakal terjadi seterusnya.

Filem ini juga mempunyai beberapa babak jumpscare yang berjaya memberi kejutan kepada penonton. Ada juga babak yang mana penonton tidak menjangkakan ia berlaku.

Ulasan 47 Meters Down Uncaged

Cuma kekurangan dalam filem ini ialah babak mangsa dimakan jerung tidak seberapa kejam yang boleh meninggalkan kesan kepada penonton. Bagi anda yang terlalu takut untuk menonton filem ngeri, mungkin filem ini perlu ada dalam pertimbangan anda.

Selain itu, terdapat beberapa mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini seperti hal kekeluargaan dan persahabatan. Begitu juga dengan penceritaan disebalik sesuatu sifat manusia contohnya mereka yang tamak dan pentingkan diri pastinya menerima nasib malang.

Ulasan 47 Meters Down Uncaged

Secara keseluruhan, filem ini membawa sudut berbeza daripada filem jerung lain yang mana mangsa perlu melarikan diri di kawasan gua; perlu melalui kawasan sempit, mengelak daripada ditarik ke kawasan tekanan air tinggi di samping perlu menyelesaikan masalah dalam keadaan genting sebelum kehabisan oksigen.

Berbaloi untuk anda yang sukakan elemen misteri, kejutan dan juga mendapat sedikit gambaran suasana sekitar gua yang ditenggelami air. Bolehlah menontonnya di pawagam pada 29 Ogos ini.

Rating: 7.5/10