Ulasan Filem: 1917

Baru-baru ini, telah berlangsungnya anugerah berprestij Golden Globe 2020 yang mana filem 1917 berjaya menggondol dua anugerah iaitu dalam kategori Filem Terbaik Drama dan Pengarah Terbaik Filem Drama.

Ulasan Filem 1917

Pada yang tidak tahu, filem ini diarahkan oleh Sam Mendes, pengarah yang sama menghasilkan Skyfall (2012).

Ini membuktikan filem perang epik 1917 sememangnya filem dengan plot penceritaan yang baik di samping kekuatannya menerusi teknik ‘single continuous shot’ iaitu penggambaraan dibuat seolah-olah menggunakan satu kamera tanpa ‘cut’ (secara terus menerus).

Daripada kisah benar yang diceritakan oleh datuk pengarah filem ini, 1917 bertemakan filem Perang Dunia Pertama dengan hanya memfokuskan kisah dua askar British, Lans Koperal Schofield (George Mackay) dan Lans Koperal Blake (Charles Chapman) diberi misi penting untuk menyampaikan pesanan menghentikan serangan demi menyelamatkan 1600 askar British daripada serangan yang telah dirancang pihak musuh (Jerman).

Ulasan Filem 1917

Mudah sahaja untuk memahami isi cerita ini dengan jalan cerita sangat ‘straight forward’, mereka perlu memastikan misi yang agak mustahil itu tercapai untuk mengelakkan semua anggota Batalion Rejimen Devonshire terkorban – barisan askar ini juga menempatkan abang kepada salah seorang daripada mereka.

Maka, bermulalah perjalanan mereka merentasi setiap halangan tanpa dihidu oleh pihak musuh. Babak ini pasti membuatkan adrenalin penonton meningkat kerana berasa cemas dan menjadi tanda tanya tentang keselamatan dua perajurit itu menyelesaikan misi.

Seperti yang dikatakan tadi, filem ini seolah-olah menggunakan teknik ‘one shot’, jadi penonton pasti berasa kagum dengan pergerakan kamera merakam gerak-geri dua perajurit ini di samping sinematografinya yang cukup memukau.

Ulasan Filem 1917

Lakonan hebat watak dua orang askar ini turut dikagumi. Pada permulaan cerita, watak Schofield tidak begitu menonjol kemudian diperkembangkan menjadi satu watak penting dalam filem ini. Selain itu, turut terselit elemen persahabatan antara dua askar ini yang akan meninggalkan emosi kepada penonton.

Beberapa adegan tambahan yang menampilkan situasi atau perkara tentang keadaan para askar ketika perang dunia pertama itu menambah rencah dalam plot penceritaan filem ini.

Secara keseluruhan, filem 1917 harus ditonton terutama bagi peminat filem perang dan bagi mereka yang kurang meminati filem bergenre ini kerana tidak gemar melihat pertumpahan darah atau manusia terkorban, pun boleh menontonnya kerana situasi itu tidak keterlaluan ditonjolkan.

Rating: 9/10